Sesiapa yang menghasilkan, menyiar atau menyebarkan berita palsu akan berdepan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya berkuat kuasa esok, menurut warta kerajaan persekutuan.
Mereka yang membayar untuk penghasilan berita palsu itu akan berdepan hukuman lebih berat, dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya.
Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang diwartakan hari ini menyatakan berita atau maklumat yang “keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu berhubung Covid-19 atau proklamasi darurat” boleh dipertimbangkan di bawah undang-undang itu.
Menurutnya, mahkamah boleh memerintahkan individu disabitkan bersalah untuk memohon maaf kepada pihak terjejas dengan tindakan mereka.
Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Undang-undang itu meliputi semua bentuk media, seperti rencana, visual atau rakaman audio “yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.
Ia terpakai kepada semua individu tanpa mengira status kerakyatan, dan walaupun kesalahan itu dibuat di luar negara.
Individu yang memiliki atau mempunyai kawalan ke atas bahan dianggap mengandungi berita palsu perlu menghapuskan penerbitan itu dalam 24 jam daripada masa arahan diberikan polis atau pegawai diberi kuasa.
Gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000 dengan RM3,000 ditambah bagi setiap hari arahan itu tidak dipatuhi.
Polis atau pegawai diberi kuasa boleh diarahkan Mahkamah Sesyen untuk mengambil langkah perlu bagi menghapuskan penerbitan yang mengandungi berita palsu atas permohonan pendakwa raya.
Mana-mana individu yang terjejas dengan penerbitan atau penyebaran berita palsu boleh membuat permohonan ex parte kepada Mahkamah Sesyen untuk arahan menghapuskannya.
Ia juga satu kesalahan untuk menyediakan bantuan kewangan secara langsung atau tidak langsung atas tujuan menghasil atau menyebarkan berita palsu, dan mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000, dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026