Penyelia Ladang ditemui maut dengan empat kesan tetakan

Seorang Penyelia Ladang ditemui maut dengan empat kesan tetakan pada bahagian kepala dan badan di sebuah Ladang Kelapa Sawit , di Batu 12 Jalan Sin Onn Tiku, di Tawau kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa warga asing berumur 57 tahun ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di jalan ladang tersebut.

Menurut saksi kejadian yang juga pekerja ladang di situ, mereka sedang berehat dalam sebuah rumah dan melihat suspek yang pulang dalam keadaan mengamuk sambil memegang sebilah parang.

Tidak lama kemudian, beberapa pekerja ladang lain pula menemui mangsa di jalan raya dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

Suspek,31, dipercayai bertindak menetak mangsa beberapa kali ketika penyelia ladang itu sedang menaiki motosikal dan melalui kawasan berkenaan.

“Suspek kemudiannya ditahan pekerja ladang terbabit sebelum mereka menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 2.48 petang pada hari kejadian.

“Siasatan awal, mangsa mengalami kesan tetakan di kepala sebanyak tiga kali manakala satu lagi tetakan pada bahagian belakang badan,”katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Peter berkata, motif sebenar kejadian belum dapat dipastikan, namun suspek dipercayai mengalami halusinasi serta masalah mental dan pernah cuba berubat secara tradisional.

“Sehubungan itu, suspek yang juga warga asing ditahan dan direman selama 14 hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Turut dirampas sebilah parang berhulu kayu panjang berukuran 50 sentemeter dan sebuah motosikal,”katanya. -Utusan Borneo