KOTA KINABALU, 9 Mac — Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dr Peter Jr Naintin mempersoalkan isu tindakan tuntutan tanah oleh pihak ketiga di Kg. Sinompuru, Sandakan, baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan yang dibuat oleh sebuah anak syarikat gergasi, bersama beberapa anggota polis dan pihak mahkamah menghalau penduduk dan merobohkan dua buah rumah di kampung tersebut merupakan satu penindasan terhadap hak orang asal Sabah.
“Tindakan pihak berkuasa kerajaan itu adalah tidak wajar, tiada tolak ansur dan tidak memberi peluang kepada penduduk orang asal Sabah. Barang-barang rumah langsung tidak sempat dikeluarkan daripada rumah.
“Di manakah keputusan penghakiman yang mengarahkan tindakan merobohkan rumah di kampung ini?,” katanya melalui satu kenyataan semalam.

Jelasnya lagi, penduduk kampung sudah lama tinggal di kawasan tersebut sejak 45 tahun yang lalu dan melalui nasihat Pejabat Tanah pada masa itu, terdapat 80 pemohon asal untuk saiz purata tanah seluas lima ekar seorang daripada pihak kerajaan.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini belum ada keputusan sebenar yang dikeluarkan berkenaan status tanah tersebut.

“Lebih teruk lagi apabila Pejabat Tanah dan Ukur sendiri pernah menyatakan bahawa fail atau surat permohonan orang kampung telah hilang daripada pejabat mereka dan permohonan tanah telah dibatalkan.
“Kemudian tanah itu pula telah dijual kepada pihak ketiga, iaitu anak syarikat kepada syarikat gergasi tersebut.
“Adakah Pejabat Tanah dan Ukur bekerjasama dengan syarikat itu untuk menolak hak orang asal Sabah? Bagaimanakah geran tanah tersebut dikeluarkan dan dijual kepada pihak ketiga tanpa memperdulikan hak penduduk asal Sabah?
“Di manakah hak penduduk orang asal Sabah sekiranya syarikat yang kaya raya ini menindas dan menganiaya orang asal Sabah,” tegasnya.

Justeru Peter yang juga Ketua Bahagian UPKO Libaran menyuarakan harapan agar pihak Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan bertindak lebih adil, saksama dan telus dalam hal ini.
“Biar hak pemilikan tanah tersebut diberikan khas untuk orang asal Sabah yang sudah lama memohon dan tinggal di kawasan ini,” ujarnya.
Sementara itu, wakil penduduk kampung, Robert Solumin berkata, dalam kejadian tersebut, mereka telah memohon agen pihak mahkamah memberikan tempoh bagi menyelesaikan isu berkenaan namun tidak diendahkan malahan mereka dicabar untuk berjumpa dengan Hakim Mahkamah.
“Pihak kampung bersetuju untuk berjumpa Hakim, namun ditolak lagi oleh agen tersebut dengan alasan Hakim sibuk buat masa itu.
“Kami tidak pernah menerima surat maklum atau notis sebanyak tiga kali daripada pihak bertanggungjawab mengenai pengusiran mahupun perobohan, ataupun keputusan mahkamah secara surat berdaftar mahupun melalui peguam lantikan Datuk Kong Hong Ming,” jelas Robert.

Rakaman video suasana pengusiran ini turut tular di media sosial dan mendapat kecaman daripada masyarakat pelbagai lapisan di seluruh Sabah.
More Stories
Tindakan Pantas Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran Pulihkan Jalan Bayaon Kiulu
Madius Meriahkan Hari Komuniti Sempena Hari Malaysia Taman Sri Rugading 2024
Pusat Khidmat Parlimen Tuaran, JAS serta pelbagai institusi dan agensi jayakan Sambutan Hari Pembersihan Sedunia