Dia pikir dia campen, baru tau kena tangkap dia semalam oleh polis KK

Kelicikan seorang penjenayah yang terbabit dengan 14 kes jenayah harta benda dan narkotik tidak berpanjangan apabila dia akhirnya ditahan polis, semalam.

Penjenayah berusia 29 tahun terbabit berjaya ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas melakukan jenayah terbaru pecah rumah di Taman Ujana Kingfisher, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima laporan daripada pemilik rumah berusia 44 tahun terbabit, sepasukan polis terus menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui kesan umpil di pintu utama dipercayai kaedah digunakan penjenayah untuk masuk ke rumah berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut, suspek akhirnya berjaya ditahan sepasukan polis di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, kira-kira jam 4 petang, semalam.

“Semasa ditahan, polis turut berjaya merampas beg silang yang mengandungi telefon pintar jenama Samsung A8 bersama sebuah laptop jenama ASUS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, suspek kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya termasuk diarahkan menjalani ujian saringan air kencing namun didapati negatif.

“Bagaimanapun, hasil semakan lanjut, suspek didapati mempunyai 14 rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah harta benda dan narkotik.

Habibi berkata, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Asia Times