DISYAKI PENGEDAR DADAH, WANITA WARGA ASING DIBERKAS

KALABAKAN : Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang wanita warga asing yang disyaki pengedar dadah dalam satu serbuan di perumahan pekerja ladang kelapa sawit di Luasong, di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, pasukan Kompeni ‘A’ Batalion 14 PGA yang menjalankan tugas ronda jarak jauh dan road check point mendapat maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah di lokasi berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi.

“Sebaik menerima maklumat tersebut, pasukan PGA bertindak melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di ladang berkenaan.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri gagal melepasi tindakan pantas pasukan PGA.

“Hasil pemeriksaan awal, suspek wanita, 45, didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan masuk ke negara ini secara haram,” katanya.

Mohd Yacob berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas sebuah bilik berjaya menemui 14 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu di dalam beg suspek yang dianggarkan seberat 14.25 gram.

“Turut dirampas wang tunai sebanyak RM11,500 dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah yang dilakukan oleh suspek sebelum ini.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12,480. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Bebahaya 1952.

“Suspek dan kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,”katanya.