TEMPAH SLOT DI MYJANJITEMU SEBELUM BERURUSAN DENGAN PEJABAT JPN SABAH

KOTA KINABALU: Sebarang urusan dengan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh Sabah kini perlu melalui tempahan slot janji temu.

Pengarah JPN Negeri Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, janji temu boleh dibuat melalui laman sesawang JPN di www.jpn.gov.my dan memilih menu Sistem MyJanjiTemu.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini, para pelanggan yang ingin berurusan perlu membuat janji temu melalui panggilan telefon.

“Kini semua lebih mudah kerana JPN Negeri Sabah telah mengemaskini tatacara membuat tempahan slot janji temu secara atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Menurut Khairrul, pelanggan adalah dinasihatkan supaya merancang masa dengan baik untuk berurusan di mana-mana pejabat JPN dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), PKPB yang masih berkuatkuasa. 

“Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan (PPP), JPN Sabah di talian 088-488300,  088-488301 atau 088-488365,” katanya.