DPS3 beri penekanan pemodenan sektor pertanian, industri hiliran asas tani

TAHNIAH … Madius menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan. Turut kelihtan (dari kiri) Megan, Dr Mohd Yaakub dan Aidi

Oleh: Nio James

KIMANIS: Kerajaan Negeri melalui Dasar Pertanian Sabah Ketiga (DPS3), akan memberi penekanan kepada pemodenan sektor pertanian, industri hiliran asas tani, peningkatan produktiviti pengeluaran dan produk berpremium tinggi.

Ketua Menteri Sabah,  Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal berkata, Dasar ini mampu membuka lebih banyak peluang kepada industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan pertanian di luar bandar seterusnya dapat mengurangkan jurang sosio-ekonomi di bandar mahupun luar bandar.

Beliau berkata, Kerajaan Sabah juga telah bertindak menghentikan eksport balak kerana ianya jelas tidak memberi manfaat jangka panjang kepada negeri Sabah.

“Tindakan ini mampu memberi kelebihan kepada perniagaan IKS dan keusahawan kerana bahan mentah balak dan kayu kayan dapat diproses di dalam negeri dan ia tentunya meningkatkan kemampuan dan hasil sektor IKS terutamanya dalam industri pembuatan perabot.

Beliau berkata demikian pada majlis Graduasi Inkubator dan Hari Keusahawanan anjuran SEDIA dengan kerjasama Teraju dan SmeCorp, di Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) Kimanis pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Turut hadir Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Haji Moktar;  Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Dr Mohd Yaakub Hj Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kanan TERAJU Megan Mohd Yatim Megan Hamid.

Shafie berklata, Program Inkubator merupakan inisiatif untuk membantu agenda keusahawanan dan IKS yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Sabah, yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Sesungguhnya katanya, inisiatif yang dilaksanakan oleh beberapa agensi, jabatan dan kementerian, sama ada diperingkat persekutuan mahupun negeri adalah saling melengkapi antara satu sama lain, apatah lagi apabila ianya berkaitan dengan agenda keusahawanan dan  IKS yang kini adalah antara agenda utama kerajaan.

Katanya, sektor keusahawanan dan IKS bukan sahaja dapat merancakkan ekonomi sehingga ke akar umbi, tetapi juga mampu meningkatkan kompetensi setiap warga yang terlibat.

“Ini kerana keusahawanan dan perniagaan itu sendiri memerlukan penghayatan nilai-nilai murni seperti rajin, dedikasi, kreatif dan berdisiplin,dan seterusnya bersama-sama membantu kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Shafie berkata,  Program Inkubator Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Dana Usahawan Bumiputera Sabah telah berjaya melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya maju dan bersaing di pasaran domestik mahupun antarabangsa.

“Program ini juga mampu membantu usaha Kerajaan Sabah dalam membangunkan IKS,” katanya.

Katanya,  inisiatif ini tentunya akan dapat ditingkatkan lagi dengan pelaksanaan Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai 2019 yang lalu.

Katanya,  DKN 2030 menggariskan halatuju bagi menggalakan pembangunan serta memacu pertumbuhan sektor keusahawanan nasional sehingga sumbangan PKS mencapai 50% kepada KDNK menjelang 2030, dan memastikan Negara muncul sebagai Negara Keusahawanan.

Shafie berkata, Rancangan Malaysia ke-12 dengan agenda Gagasan Kemakmuran Bersama akan digubal berdasarkan kepada tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial.

Katanya, Dasar ini bukan saja akan menjadi perniagaan mesra kepada syarikat gergasi multi nasional, ia tentunya akan terus memberikan keutamaan kepada agenda pemerkasaan IKS.

“Saya percaya, Rangka Tindakan SDC, melalui SAIP terutamanya  mampu memainkan peranan dalam pembangunan keusahawanan IKS dan startup,” katanya.

Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) adalah pusat agro industri yang lengkap dengan kemudahan dan fasiliti terkini dan moden, dari kemudahan penyimpanan lepas tuai, makmal, mesin jentera, tapak semaian hinggalah kepada pejabat dan khidmat nasihat untuk para usahawan, start up dan syarikat IKS.

Dengan kata lain, SAIP di Papar ini adalah “landasan yang tepat” untuk para usahawan tempatan memulakan langkah pertama dan Majlis Graduasi ini adalah bukti bagaimana SAIP melahirkan usahawan yang berupaya merangsang ekonomi setempat, menyediakan peluang pekerjaan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Shafie berkata, kerjasama di antara pelbagai pihak termasuk kerajaan Sabah, Persekutuan, dewan-dewan perniagaan, pihak swasta dan masyarakat setempat tentunya mampu meningkatkan lagi penyertaan lebih ramai penduduk tempatan menceburi bidang keusahawanan seterusnya menerokai pasaran antarbangsa, sekaligus melonjakan ekonomi negeri Sabah dan negara ke tahap yang lebih dinamik dan mampan di samping mengurangkan jurang perbezaan sosio-ekonomi di antara bandar dan luar bandar dan juga di antara wilayah selaras dengan objektif SDC.

“Oleh yang demikian, kita mahu lebih ramai lagi penduduk luar bandar terutamanya dari kalangan belia, untuk menceburi bidang keusahawanan dan menjadi usahawan di sektor pertanian, makanan dan penjagaan kesihatan termasuk kosmetik.

“Saya yakin masih banyak ruang untuk  diterokai di sektor ini, apatah lagi, bumi Sabah ini kaya dengan kepelbagaian sumber yang boleh dimanfaatkan dengan baik,” katanya.

Shafie menyeru orang ramai terutama penduduk di luar bandar mengambil kesempatan ini untuk terlibat sama dalam arus pembangunan keusahawanan, dengan memanfaatkan sepenuhnya semua peluang yang ada pada acara yang diadakan disini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan sesi pembelajaran yang praktikal.

Beliau  juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan Majlis Graduasi Inkubator & Hari Keusahawananyang julung-julung kali ini.

Termasuk kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat, khususnya Pejabat Daerah Papar, SEDIA, SMECorp, Teraju, SIRIM, MARA, Politeknik Kota Kinabalu, SSM, FAMA, Jabatan Pertanian,  institusi kewangan, dan banyak lagi agensi dalam menjayakan acara seperti ini yang mampu meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti keusahawanan, perniagaan serta pemasaran terutamanya dibidang agrotani dan produk-produk desa,” katanya.