SEJARAH BUAT UPKO, LOGO ‘GUNUNG KINABALU’ BAKAL BERKIBAR

TUARAN: Buat pertama kalinya, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bakal mencipta sejarah apabila akan menggunakan bendera dengan logonya sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Datuk Wilfred Madius Tangau, berkata peluang untuk memenangi kerusi ditandingi pada PRN nanti akan lebih tinggi dengan penggunaan logo parti yang bertemakan ‘Gunung Kinabalu’.

“Pertama kali dalam sejarah kita akan gunakan logo sendiri dan ini kita telah persetujui dengan rakan kita Warisan (Parti Warisan Sabah).

“Sebab pertama logo UPKO itu banyak nilainya dan peluang kita menang lebih baik jika kita pakai logo kita sendiri sebagai parti tempatan. Malah kepimpinan UPKO juga mahu dilihat sebagai parti yang baru dijenamakan semula,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

UPKO merupakan antara parti politik tertua di Sabah sebelum ini berpayung di bawah satu logo dan telah melalui fasa penjenamaan semula pada awal tahun ini.

Menurut Madius selain penggunaan logo, parti itu turut telah memuktamadkan kerusi-kerusi yang bakal ditandingi termasuk kerusi-kerusi baharu yang diyakini boleh dimenangi UPKO.

Selain calon boleh menang, beliau menegaskan kriteria yang ditetapkam parti itu adalah faktor kesetiaan kepada parti dan kefahaman tentang objektif penubuhan UPKO.

“Bagi kita UPKO ini, kita lihat kepada dua perkara, yang pertamanya menang dan kita mahu calon yang terbaik untuk menang.

“Kalau dia sudah menang jangan lari mesti setia dan inilah yang kita perincikan dan kedua yang lima kerusi itu memang sudah diputuskan.

“Jadi perundingan ini begitu, bagi pendirian UPKO itu pendekatan kita, bukan semata-mata untuk bertanding kerana memenuhi selera parti atau calon, niat kita mahu menang dan menubuhkan kerajaan dan pada masa sama kita mahu lihat rakan-rakan kita pun begitu,” tegasnya.

Dalam pada itu Madius turut mendedahkan mengenai cadangan UPKO kepada gabungan melibatkan beberapa parti yang ditubuhkan di Semenanjung Malaysia.

Madius mencadangkan agar parti-parti terbabit bertanding menggunakan logo parti tempatan kerana diyakini sentimen rakyat Sabah akan lebih menguatkan sokongan rakyat terhadap gabungan itu pada PRN nanti.

“Parti-parti yang berasal dari Semenanjung ini dalam perbincangan kita elok dia pakai logo parti tempatan la, nanti susah jika mahu menjelaskan,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *