KENINGAU: Dua beradik, masing-masing kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dan bayi lelaki yang baru berumur tiga bulan dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Talangkai Karamatoi Ulu, Sook, di sini, semalam.
Mangsa warga Indonesia itu, Norsifah Asrul dan adiknya Muhd Fadli Asrul dikatakan terlepas daripada pegangan ibu bapanya ketika bersiap-siap untuk dimandikan dalam kejadian pada kira-kira jam 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata ketika itu mereka berada di ruang tamu rumah kongsi ladang sawit tempat bapa mangsa bekerja yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai.
Katanya, tanpa disedari arus sungai atau kepala air secara tiba-tiba meluru dengan deras hingga melimpahi tebing dan menghanyutkan rumah kongsi, menyebabkan situasi bertukar huru-hara dan tidak terkawal.
Beliau, berkata sebelum kejadian itu, berlaku hujan lebat selama beberapa jam namun mangsa tidak menyangka boleh berlaku kepala air dan menyifatkan kejadian itu yang pertama di kawasan berkenaan.
“Sebelum dihanyutkan kepala air, bapa mangsa sempat meninjau di luar selepas terdengar teriakan pekerja lain di luar rumah mengatakan berlaku kejadian ‘gempa’.
“Namun, secara tiba-tiba, kepala air terus menerjah rumah mereka tetapi bapa mangsa dikatakan sempat masuk semula ke dalam rumah dan ketika itu ibu mangsa sedang memegang bayi (Muhd Fadli), manakala bapanya memegang Norsifah.
“Bagaimanapun kedua-dua mangsa terlepas dari pegangan kedua-dua ibu bapanya selepas kediaman mereka dirempuh kayu balak yang turut dihanyutkan kepala air dan banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yampil berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa sedang dijalankan membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan penduduk kampung.
“Pakaian yang dipakai kedua-dua mangsa ketika kejadian iaitu Muhd Fadli memakai baju warna putih dan berseluar pendek warna merah jambu manakala kakaknya (Norsifah) memakai baju gaun warna putih/merah.
“Ibu bapa mangsa yang turut dihanyutkan arus deras banjir mengalami kecederaan dan kini masih berada di Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – Info X
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis