KOTA KINABALU: Tidak tahan dengan bau busuk, jiran sebuah rumah di Taman BPL Luyang lantas membuat laporan polis malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Katanya, sebaik tiba, rumah mangsa didapati berkunci sehingga memaksa polis menggunakan tangga untuk melihat persekitaran dalam rumah menerusi tingkap.
“Hasil pemerhatian, mendapati terdapat dua orang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai sudah meninggal dunia.
“Pegawai penyiasat kemudiannya terpaksa mendapatkan bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memecahkan pintu rumah mangsa,” katanya, di sini, hari ini.
Habibi berkata, pasukan paramedik jabatan kesihatan yang turut tiba di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa berusia 46 dan 37 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu dipercayai membunuh diri.
Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah boleh dikaitkan sebagai punca kematian kedua-dua mangsa.
“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui sejenis cecair racun berhampiran pasangan terbabit yang dipercayai diminum oleh kedua-dua mangsa,” katanya sambil memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) namun siasatan lanjut masih diteruskan.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ