Dua beranak maut dirempuh kenderaan

TUARAN: Seorang wanita dan anaknya maut apabila dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan berhampiran Simpang Kampung Rugading, Jalan Kota Kinabalu – Tuaran, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tuaran Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan dua pejalan kaki.

“Akibat kemalangan, kedua-dua mangsa pejalan kaki terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu kenderaan terbabit telah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, beberapa individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dijalankan.

“Pemandu Perodua Myvi juga ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, beliau memohon orang awam atau mana-mana individu
yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya memaklumkan kepada pihak polis dengan menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Haffiz melalui talian 011-61600964 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, irang awam juga diminta supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi berkenaan kes kemalangan ini agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu dan tidak benar serta tidak mengganggu siasatan yang dijalankan. – Info X