FESTIVAL TARIAN SINGA, NAGA dan UNICORN BAKAL JADI ACARA GEMILANG

Oleh Nio James

KOTA KINABALU: Festival Tarian Singa, Naga dan Unicorn Tahun Baharu Cina 2020 yang dianjurkan oleh USCCAKK di Kompleks Sukan Likas, di sini, esok, bakal menjadi satu lagi acara yang gemilang buat Sabah.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, George Hiew Vun Zin, berkata festival itu amat dinanti-nantikan penduduk tempatan terutama di Kota Kinabalu dan ianya juga mendapat sokongan kuat daripada masyarakat Cina.

“Festival ini antara yang terbesar diadakan sempena Tahun Baharu Cina kali ini dan sudah pasti ia dinanti-nantikan oleh masyarakat terutama di Kota Kinabalu,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Masyarakat Cina bersatu Sabah (USCCAKK) yang diketuai presidennya Datuk Susan Wong Siew Guen, di sini, pada Rabu.

Selain George, Susan dan ahli jawatankuasanya turut mengadakan kunjungan hormat kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman untuk menyampaikan jemputan ke Festival Tarian Singa, Naga dan Unicorn Tahun Baru Cina 2020 serta Pameran Budaya Kampung Cina yang akan diadakan di Kompleks Sukan Likas, esok.

Susan (enam dari kanan) menyampaikan jemputan rasmi kepada Nordin Siman (lima dari kiri).

Dalam kunjungan hormat itu, Nordin berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyokong sepenuhnya dan memudahkan aktiviti kebudayaan yang dianjurkan oleh semua kumpulan etnik di bandar raya dan berharap masyarakat Cina dapat mengekalkan hubungan baik dan kerjasama rapat dengan DBKK untuk mempromosikan acara kebudayaan.

Dalam pada itu di hari yang sama juga, delegasi USCCAKK turut mengadakan kunjungan mesra ke atas penggiat terkemuka industri automotif, Datuk Aloysius Tan dan Datuk Anthony Chiu Nyuk Loi, dimana kedua-dua mereka telah menyampaikan tajaan untuk acara itu.

“USCCAKK berharap lebih ramai usahawan dan ahli perniagaan akan tampil untuk menyokong usaha itu untuk memelihara aktiviti kebudayaan Cina.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Hiew dan Nordin di atas sokongan mereka dan berjanji Festival Tarian Singa, Naga dan Unicorn Tahun Baru Cina 2020 akan membuat persembahan yang menarik,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata Pameran Budaya Kampung Cina akan mempamerkan pastri Cina, makanan istimewa dan budaya teh.

“Pameran itu diadakan dalam bentuk pertandingan.

“Selain menghias gerai mereka, 15 persatuan di bawah USCCAKK dijangka mempamerkan pastri tradisional dan budaya teh terbaik untuk cu memenangi anugerah yang disediakan,” katanya.

Pameran Budaya Kampung Cina akan dirasmikan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide, pada jam 9 pagi.

Manakala Festival Tarian Singa, Naga dan Unicorn Tahun Baru Cina 2020 akan dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Perayaan itu akan bermula dari jam 12 tengah hari pada 11 Januari.