Dua lagi kluster baharu COVID-19 dilaporkan

Dua kluster baharu dilaporkan melibatkan Jalan Kastam Baru di Lahad Datu dan Inanam Taipan di sini pada 27 Mac 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Kastam Baru di Lahad Datu menokok lima kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak enam kes.

“Kluster ini mula dikesan pada 25 Mac 2021, apabila kes indek yang merupakan pegawai penguatkuasa disahkan positif melalui saringan bergejala di klinik kerajaan.

“Susulan kes tersebut, saringan kontak rapat dan saringan tempat kerja dijalankan ke atas 51 orang dengan enam kes didapati positif, manakala 39 lagi masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, Kluster Inanam Taipan di Inanam pula dilaporkan mengesan satu lagi kes
menjadikan jumlah kumulatif sebanyak sembilan kes positif COVID-19. 

Katanya, kes indeks merupakan kakitangan khidmat pelanggan di kedai menjual barangan kemas dan disahkan positif melalui saringan bergejala pada 16 Mac 2021. Berdasarkan
penelitian kes, jangkitan tersebut berpunca daripada komuniti.

“Sementara itu, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada 27 Mac 2021 adalah sebanyak 64 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,584 kes. Satu kes kematian direkodkan di daerah Tawau.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh ialah 48 orang menjadikan jumlah kumulatif 53,733 orang. Seramai 422 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 172 orang di hospital dan 250 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. 

“Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi ialah 29 orang dan 13 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi menjelaskan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan Negeri turut bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lingkudau, Keningau pada 28 Mac 2021 seperti yang dijadualkan, selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,396 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 91 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta kes terakhir yang dilaporkan ialah pada 23 Mac 2021,” katanya. – Utusan Borneo