TAWAU : Dua lelaki penganggur warga asing ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat 0.08 gram di kawasan bangunan terbiar di sekitar Bandar Tawau, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kedua-dua individu ini berusia antara 30 dan 33 tahun diberkas selepas polis melakukan tugasan cegah jenayah di sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, pada 12.05 tengah malam tadi polis melihat dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan serta duduk di bangunan terbabit.
“Kedua-dua suspek kemudiannya mendiamkan diri apabila pihak polis menjalankan pemeriksaan. Selepas siasatan dijalankan polis menemui satu peket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.08 gram bersama peralatan disyaki untuk menagih dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek ini disahkan positif dadah jenis methamphetamine. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jasmin berkata, polis memberi amaran keras tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam menangani isu dadah mahupun jenayah berlaku di daerah ini.
“Kita ucapkan terima kasih kepada orang ramai khususnya penduduk di Tawau ini kerana menyalurkan maklumat terhadap berlakunya kegiatan jenayah di sekeliling mereka,” jelas Jasmin.-SABAHNEWS TODAY
More Stories
Miliki petrol tanpa lesen,dua lelaki didenda RM10,000 dan RM6,000 seorang lagi dipenjara
Wisma Putra ambil maklum kehadiran kapal tentera laut asing di EEZ Malaysia
Tiga individu diserang memerang ketika berjoging