Piala MFL: Sabah FC II dapat mata pertama

KOTA KINABALU: Sabah FC II akhirnya memperoleh mata pertama selepas seri 1-1 dalam aksi Piala MFL menentang Kuching City FC di Stadium Likas, malam tadi.

Pengendalinya, Alto Linus, berkata walaupun sekadar berkongsi satu mata dengan pasukan lawan, beliau berpuas hati terhadap pencapaian anak buahnya dalam perlawanan kali ini.

Apa yang penting, katanya pemain Sabah FC II dapat menterjemahkan apa yang dipelajari dalam sesi latihan rutin ke padang perlawanan hingga berjaya mencipta gol dan menghalang pasukan lawan daripada menewaskan mereka.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati, sebab apa yang saya lihat dalam perlawanan ini, permainan mereka menepati yang kita lakukan dalam latihan selama ini.

“Namun, saya dapati ada beberapa pemain keletihan dan di sana, mereka sedikit hilang tumpuan untuk terus kekal bermain seperti apa yang kita rancang,” katanya ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.

Alto berkata, sesi rehat selama lima minggu seterusnya akan memberi peluang kepada pasukan pengurusan merangka strategi lebih dinamik dan melipatgandakan lagi rutin latihan pemain.

“Ada banyak lagi kerja rumah kena buat selepas ni. Kita akan rehat selama lima minggu dan ini suatu yang baik untuk pasukan di mana banyak kerja harus kita lakukan.

“Bagi kita peluang dan masa untuk kita bersedia dari segi kecergasan, membuat taktikal bagi memantapkan lagi persiapan pemain untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Perlawanan malam tadi menyaksikan gol tunggal Sabah FC II diperolehi menerusi jaringan Md Rozaimi Abd Rahman pada minit ke-26.

Kuching City puls berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Gabriel Batistuta pada minit ke-57. – Info X