DUA LELAKI PERTAMA DIPENJARA, DIDENDA KETIKA PKP

KOTA KINABALU: Dua lelaki menjadi individu pertama di Sabah didenda dan dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menghalang anggota polis yang menjalankan tugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Yong Tze Hou, 26, pekerja di restoran milik keluarganya dihukum penjara 10 bulan manakala Injimar Abu Gafar,33, dikenakan denda RM6,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayarnya oleh Majistret Stephanie Sherron Abbie selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Yong diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh beliau ditangkap semalam dan Injimar akan dirujuk kepada pihak Imigresen.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yong didakwa menghalang pejawat awam iaitu seorang anggota polis daripada melakukan tugas kewajipannya ketika menjalankan rondaan di antara Jalan Kampung Cenderakasih sehingga ke Jalan Bukit Bendera sehingga berlaku kejar-mengejar pada pukul 1.30 pagi semalam (25 Mac).

Manakala Injimar yang merupakan Pemegang Kad Pengenalan Merah didakwa menghalang pejawat awam iaitu seorang pegawai polis berpangkat Inspektor menjalan tugas dalam sekatan jalan raya dengan enggan bekerjasama dan mengeluarkan kata-kata kesat di Jalan Tuaran Batu 7, Inanam pada pukul 9.15 malam, Isnin lepas.

Pertuduhan terhadapnya kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Khairul Anuar Abd Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum, untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum kerana ia adalah kesalahan pertama dan kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau./BERITA SABAH