PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau, di sini, yang ditutup disebabkan kadar kemasinan air sungai terlalu tinggi akibat kemarau sejak 17 Februari lalu beroperasi semula untuk membekal air bersih kepada pengguna mulai malam tadi.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata satu lagi LRA iaitu yang dioperasikan syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd di Limbahau juga kembali beroperasi pada kapasiti penuh.
Beliau berkata, hujan lebat sejak kelmarin di sekitar daerah ini berjaya menurunkan kadar kemasinan atau kandungan klorida air Sungai Papar di muka sauk kedua-dua loji berkenaan hingga ke paras yang boleh dirawat.
“Alhamdulillah, setelah hujan membasahi bumi beberapa hari pada hujung minggu ini (lalu) di sekitar Papar, saya dimaklumkan pada lewat petang tadi (semalam) oleh jurutera daerah Papar, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jetama mengenai status loji air mereka di Limbahau Papar.
“Kandungan klorida dalam air sungai menurun ke bawah paras 120 miligram perliter (MGL) sekali gus membolehkan kedua-dua muka sauk milik JANS dan Jetama di Limbahau boleh mengepam air sungai untuk dirawat di loji mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, sebagai permulaan operasi semula, LRA EWSS Limbahau milik JANS memproses lima juta liter sehari (MLD), manakala LRA Jetama dijangka memproses air terawat pada kadar penuh 13 MLD bermula jam 8 malam tadi, menjadikan 18 MLD air dapat dibekalkan semula kepada pengguna daerah ini.
“Semoga masalah bekalan air terawat di daerah Papar yang dialami dapat dilegakan. InsyaAllah,” katanya.
Berikutan perkembangan baharu itu, kira-kira 150,000 penduduk daerah ini yang tidak menerima bekalan air bersih menerusi pili air di kediaman masing-masing dijangka kembali menerima bekalan, ketika beberapa hari lagi menjelang Aidilfitri.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar turut berkongsi mengenai berita baik itu menerusi laman Facebook beliau. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ