Kebakaran kabel beri kesan kewangan kepada SESB

KOTA KINABALU: Insiden kebakaran memusnahkan sejumlah besar kabel elektrik yang ditempatkan di gudang simpanan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), di Inanam baru-baru ini memberi kesan terhadap kewangan syarikat utiliti itu dalam memenuhi permintaan bekalan elektrik yang semakin meningkat di Sabah dan Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata kejadian mengejutkan itu menyebabkan banyak stok kabel elektrik baharu terbakar atau rosak dan tidak boleh digunakan.

“Kabel-kabel elektrik yang terbakar itu sepatutnya diagihkan ke stor-stor SESB daerah dalam masa terdekat. Ia adalah komponen utama pembekalan tenaga elektrik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bagaimanapun, katanya SESB tetap berusaha memenuhi semua keperluan dan permohonan bekalan elektrik di Sabah dan Labuan menerusi beberapa langkah segera yang diambil.

Mohd Yaakob berkata, antara usaha yang sudah dilaksanakan ialah membuat perolehan segera kabel-kabel berkaitan, namun proses itu dijangka mengambil masa.

“Justeru itu, SESB memohon pelanggan yang telah membuat permohonan bekalan elektrik bersabar sehingga kabel elektrik yang baharu dibekalkan,” katanya.

Kebakaran terbabit menyebabkan SESB kerugian kira-kira RM40 juta. –Info X