DUA ORANG JURAGAN BOT PENUMPANG DITAHAN KERANA GAGAL MELAPORKAN PERTUKARAN NAKHODA DALAM LESEN BOT

Salah sebuah bot penumpang yang ditahan oleh APMM Semporna untuk pemeriksaan pada hari Ahad 
Oleh Faizal Rahman
SEMPORNA :  Dua orang juragan tempatan yang gagal melaporkan pertukaran nakhoda dalam lesen bot penumpang, ditahan  kerana melanggar syarat-syarat sah lesen di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 di perairan Semporna pada hari Ahad.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan  berkata, kira-kira jam 4.00 petang, bot peronda APMM yang sedang menjalankan pemeriksaan rutin telah dapat mengesan kesalahan dua buah bot penumpang  gagal melaporkan pertukaran nakhoda dalam lesen bot apabila diminta oleh anggota penguatkuasa maritim.
 
Jelasnya, ketika kejadian bot tersebut dipercayai dalam perjalanan menuju ke jeti pelancong  dari Pulau Mataking.
 
“Pihak kami terpaksa menahan 2 orang juragan bot masing-masing berumur dalam lingkungan 32 tahun dan 40 tahun kerana disyaki telah melakukan kesalahan yang ditetapkan di bawah peraturan perlesenan bot penumpang. Pemilik dan operator bot bertanggungjawab  memastikan bot mereka selamat  untuk para penumpang.
Penahanan ini merupakan kes ke lapan direkodkan oleh APMM Semporna bagi tahun 2019 setakat ini. Kesemua yang ditahan termasuk bot penumpang diiring masuk ke jeti Pelancong dan kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Semporna untuk tindakan lanjut.”
Menurut beliau lagi, APMM Semporna akan terus meningkatkan  rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Semporna.
           
Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan  ke APMM Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.