DUA WARGA ASING DITAHAN, KULIT KAYU BAKAU SEBERAT 4 TAN DIRAMPAS

Kedua-dua saspek (kanan) ditahan bersama kulit kayu bakau oleh PGA Batalion 20 di kawasan Hutan Simpan Sungai Sugut semalam

Oleh Kahar Ali

BELURAN : Dua lelaki warga asing ditahan bersama 4 tan kulit kayu bakau di kawasan Hutan Simpan Sungai Sugut  dekat sini pada Sabtu.

Sepasukan anggota Batalion 20 dan dibantu oleh anggota Jabatan Perhutanan Pitas semasa menjalankan “Operasi Khazanah”  ternampak dua lelaki sedang memotong kulit kayu bakau dengan menggunakan kapak pada jam 5.00 petang.

Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran ACP Mohd Nasaruddin M. Nasir, kedua-dua saspek berumur 36 dan 37 tahun juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan semasa diperiksa oleh pasukan operasi.

Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan situ telah menemui 4 longgokan kulit kayu bakau dianggarkan seberat 4 tan dengan nilai anggaran lebih kurang RM52,000 pasaran semasa, kata Mohd Nasaruddin.

Turut ditemui dan dirampas, kapak, tukul dan tiga buah sampan kecil disyaki digunakan oleh saspek untuk melakukan kegiatan tersebut, tambah beliau.

Pasukan operasi kemudian menahan kedua-dua saspek lelaki kerana menceroboh kawasan hutan simpan dan memotong kulit kayu bakau tanpa kebenaran serta tiada dokumen pengenalan diri, kata Mohd Nasaruddin.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke IbuPejabat Polis Daerah Beluran untuk tindakan lanjut, kata Mohd Nasaruddin lagi.