Dwayne ‘The Rock’ Johnson dilantik ahli Lembaga Pengarah TKO

PELAKON terkenal Hollywood Dwayne ‘The Rock’ Johnson dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah TKO Group Holdings, iaitu syarikat yang dibentuk oleh Endeavour yang menggabungkan WWE dan UFC.
Menurut laporan media, bintang WWE itu juga telah memperoleh pemilikan penuh nama ‘The Rock’.
“Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Dwayne dan mengalu-alukan bakat besarnya ke Lembaga Pengarah TKO.

“Dwayne membawa rekod prestasi yang luar biasa dalam mencipta kandungan dan membina jenama pengguna yang diiktiraf di peringkat global, dan dia akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan cita-cita kami untuk TKO,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TKO (dan Endeavour), Ariel Emanuel.

“Sangat sedikit orang di planet ini memahami penumpuan sukan, hiburan, media, dan perniagaan seperti The Rock,” kata pengerusi eksekutif TKO Vince McMahon.
Sementara itu, Johnson dalam reaksinya berkata beliau sangat berbesar hati untuk dipilih menyertai Lembaga Pengarah TKO Group.
“Datuk saya, Peter Maivia, dan ayah saya, Rocky ‘Soulman’ Johnson, tidak pernah menyangka hari ini akan tiba.
“Itulah sebabnya saya sangat berbesar hati untuk mendapat tempat di meja yang mempunyai sejarah yang berdekad dan warisan keluarga untuk saya. Meja yang keluarga saya bantu bina.
“Menjadi ahli Lembaga Pengarah TKO, dan mendapat pemilikan penuh nama saya, ‘The Rock’, bukan sahaja belum pernah berlaku sebelum ini, tetapi sangat memberi inspirasi kepada saya,” katanya.
Untuk rekod, mama ‘The Rock’ berasal daripada mendiang bapanya, Rocky Johnson, yang merupakan seorang bekas penggusti dan ‘Hall of Famer’ di WWE.
Karier Johnson bermula di WWE (dahulunya dikenali sebagai WWF) pada tahun 1996, dengan menggunakan nama Rocky Maivia.
Namanya kemudian ditukar kepada ‘The Rock’ dan dari situ, kerjayanya terus berkembang dan menjadi salah seorang penggusti paling berjaya dalam sejarah WWF.
Pada 2001, Johnson mencuba pula bidang baharu apabila ditawarkan berlakon dalam filem The Mummy Returns dan kemudian tahun berikutnya, menjadi pelakon utama dalam The Scorpion King (2002).
Daripada filem pertama, dia terus mengorak langkah dalam dunia perfileman dan kini boleh dianggap sebagai antara pelakon paling berjaya di Hollywood.