Persembahan eksklusif Velvet pukau hadirin di Jao Tim

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, penyanyi Velvet Aduk membuat persembahan eksklusif di Jao Tim pada hujung minggu lalu untuk mempromosikan album Inggeris pertamanya berjudul ‘Darkest Knight’.

Konsert selama kira-kira dua jam itu menyaksikan artis dari Sabah itu mendendangkan kesemua 14 lagu dalam album berkenaan selain beberapa lagu lain.

Dia diiringi pemuzik yang diterbangkan khas dari Sabah iaitu gitaris, Andy O’Mail, pemain bass, Brandon Laurie, pemain keyboard, Stanley Soojin dan pemain drum Nathanael Tsen.

Velvet bukanlah nama asing dalam industri muzik tempatan.

Sebelum ini, dia telah pun meraih perhatian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan lagu viral seperti Sumandak Sabah, Oi Gaman dan Aramaitiii.

Jika digabungkan statistik, kesemua video Velvet sudah mencecah tontonan lebih 20 juta di YouTube.

Namun, Velvet ingin terus melebarkan sayap dalam industri muzik tempatan.

Justeru, penyanyi dan pencipta lagu ini meluangkan masa lebih setahun untuk menghasilkan album berbahasa Inggeris bersama pemuzik Andy dan Brandon.

Berkat usaha gigih Team Velvet, album ‘Darkest Knight’ dilancarkan tahun lepas dan menonjolkan genre muzik berbeza dengan karyanya terdahulu yang bersifat kerakyatan.

Antara lagu yang mencuri perhatian dalam album berkenaan termasuk ’What Are You Doing With Someone Else’s Husband?’ dan ‘Trauma Bond’.

Album baru ini mempamerkan sisi matang Velvet dengan lagu-lagu yang berkisar tentang kesakitan putus cinta, dan perasaan pasangan yang telah dicurangi.

Velvet berkata, dia mencipta album ini untuk mengekspresikan perasaan-perasaan yang seringkali sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Velvet turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Kementerian Komunikasi kerana memberi sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) melalui MyCreative Ventures.

“Sokongan ini telah membolehkan team saya dapat menghasilkan tujuh daripada 14 trek dalam album berkenaan,” katanya baru-baru ini.