KOTA KINABALU: Atlet paralimpik Sabah, Eddy Bernard, hari ini menerima ucapan tahniah daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atas pencapaian membanggakan pada Paralimpik Paris 2024.
Ia berikutan kejayaannya mengutip pingat pertama untuk Malaysia dengan membawa pulang gangsa menerusi acara 100 meter pada temasya sukan dunia itu.
“Syabas dan tahniah Eddy Bernard berjaya menghadiahkan pingat pertama negara untuk temasya sukan Paralimpik Paris 2024!
“Memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olahraga Kategori T44 Acara 100m,” katanya menerusi perkongsian di akaun Facebook beliau.
Eddy turut menerima ucapan sama daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin atas kejayaannya dalam aksi sulung ke pentas paralimpik.
“Tahniah Eddy Bernard atas pencapaian yang amat membanggakan khususnya buat rakyat Sabah.
“Beliau telah menyumbang pingat pertama Kontinjen Paralimpik Malaysia dengan memenangi pingat gangsa dalam acara 100M kategori T44.
“Anak jati Beluran ini juga telah memecahkan rekod Asia yang baru dengan catatan terbaik beliau iaitu 11.58 saat,” kata Ellron menerusi Facebook beliau.
Eddy berada di belakang atlet Cuba, Yamel Vives selaku pemenang pingat perak dengan catatan 11.20 saat dan pemenang emas dari Afrika Selatan, Mpumelelo Mhlongo yang mencatat masa 11.12 saat.
Secara keseluruhan, Sabah menghantar tiga atlet paralimpik bagi mewakili negara kali ini dengan dijanjikan ganjaran RM500,000 jika membawa pulang emas. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ