Timbang semula sumbangan RM100 juta anjur Sukan SEA

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diminta menimbang semula keputusan menyumbang RM100 juta untuk penganjuran bersama Sukan SEA 2027.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menyifatkan jumlah itu terlalu besar dan lebih baik digunakan untuk menyelesaikan masalah asas rakyat.

Beliau mendakwa tindakan kerajaan negeri dan Menteri Belia dan Sukan Sabah bersetuju menganjurkan temasya sukan serantau itu hanya untuk populariti. -SABAH MEDIA

“Tindakan ini ibarat pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

“RM100 juta yang diumumkan ini sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah asas rakyat Sabah seperti lubang di jalan raya yang tidak tertampal dan masalah bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan.

Atas sebab itu, beliau menggesa kerajaan negeri menimbangkan semula peruntukan dan memberi keutamaan kepada masalah yang lebih mendesak dihadapi rakyat Sabah.

Katanya, kerajaan negeri harus memikirkan dengan bijak keutamaan peruntukan dan menggunakan wang rakyat dengan sebaiknya.

“Ada banyak isu yang memerlukan perhatian segera dan peruntukan RM100 juta ini seharusnya digunakan untuk manfaat langsung rakyat, bukan hanya untuk meraih populariti semata-mata,” katanya.

Suhaimi menekankan perhatian perlu diberikan kepada pembangunan infrastruktur asas dan sokongan yang lebih berkesan kepada atlet serta sukan tempatan.

Langkah itu katanya penting agar peruntukan yang ada memberi impak maksimum kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan sukan di Sabah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Libaran itu turut meminta kerajaan menimbang semula keputusan menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 berikutan masalah fasiliti sukan.

Katanya, fasiliti sukan sedia ada di negeri ini dalam keadaan daif dan tidak mencapai standard yang diperlukan untuk temasya sukan antarabangsa.

Jelasnya, fasiliti sukan di Sabah memerlukan pembaikan besar-besaran bagi mencapai standard yang diperlukan untuk Sukan SEA.

“Kita semua tahu bahawa fasiliti sukan di Sabah dalam keadaan yang daif dan tidak memenuhi standard yang ditetapkan untuk temasya seperti Sukan SEA.

“Untuk mempersiapkan fasiliti ini agar sesuai untuk temasya itu, sudah tentu kerajaan perlu membelanjakan jutaan ringgit lagi bagi pembaikan dan memastikan ia mematuhi piawaian ISO.

“Ini adalah beban tambahan yang perlu dipertimbangkan,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan jenis sukan yang akan dipromosi di Sabah dan keberkesanan usaha itu.

“Selama ini, Kementerian Belia dan Sukan Sabah tidak banyak membantu atlet untuk mencapai kejayaan.

“Lebih-lebih lagi, sukan yang dipilih sebagai ikon anak-anak Sabah tidak mendapat sokongan yang sewajarnya.

“Sekiranya kerajaan negeri benar benar ingin memajukan sukan di Sabah, seharusnya ada fokus yang jelas dalam menyokong atlet dan sukan yang benar-benar memerlukan perhatian dan sokongan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeo, mengumumkan tiga negeri bersetuju menjadi penganjur Sukan SEA 2027 iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.

Katanya, kerajaan Sarawak bersetuju menampung 50 peratus kos penganjuran iaitu lebih RM300 juta, manakala Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang pula RM15 juta. – Info X