PENAMPANG: Orang ramai khususnya di daerah ini dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti ziarah-menziarahi sepanjang Perayaan Pesta Kaamatan ini sebagai usaha mencegah penularan pandemik Covid-19.
Larangan itu juga adalah salah satu garis panduan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan dan perlu dipatuhi.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, walaupun aktiviti ziarah adalah perkara lazim sepanjang menyambut perayaan pesta Kaamatan, namun ketika kebiasaan itu perlu dielakkan.
Katanya, orang ramai perlu bersabar dan menuruti langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan wabak Covid-19 itu menjadi semakin sukar dikawal.
“Kita faham, sememangnya sudah menjadi tradisi sebarang sambutan atau perayaan untuk berkumpul bagi mengeratkan hubungan silaturahim dengan sanak-saudara, sahabat handai serta jiran tetangga dan masyarakat.
“Namun, berikutan penularan pandemik Covid-19 kali ini, tidak mengizinkan tradisi itu diteruskan kerana ia membabitkan pergerakan orang ramai pada satu-satu masa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Haris berkata, sekiranya gagal dikawal, ia dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan ramai terutamanya golongan warga emas, pesakit kronik dan kanak-kanak.
Katanya, harus difahami, larangan aktiviti ziarah itu, bukan semata-mata untuk menyekat sepenuhnya pergerakan orang ramai ketika musim perayaan tetapi bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang mungkin membawa maut kepada golongan berisiko.
“Justeru, orang ramai diminta supaya bersabar menerima ketetapan ini dan terus menjalani norma baharu dalam kehidupan harian kita semua,” katanya.
Sebelum ini, pada 10 Mei lalu, sebuah portal berita menyatakan kerajaan memberi kebenaran untuk aktiviti ziarah sepanjang tiga perayaan iaitu Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai.
Namun jumlah yang dibenarkan hanya membabitkan 20 orang dalam satu masa bagi mengelakkan kemungkinan penularan wabak berkenaan.
Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 21 Mei lalu menegaskan, orang ramai tidak dibenarkan melakukan beberapa aktiviti termasuk kunjung-mengunjung, rumah terbuka dan berpesta.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) itu perlu dipatuhi orang ramai bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.-http://beritasabah.com

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK