TAWAU: Empat rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Sentosa, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, seramai 19 orang penghuni rumah terbabit tinggal sehelai sepinggang selepas tidak dapat menyelamatkan harta benda mereka.
Ketua Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.49 pagi.
Katanya, seramai 34 anggota dan pegawai bersama empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam.
“Operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, (APM), Pasukan Bomba Sukarela dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati empat buah rumah sudah musnah terbakar dan operasi terus dijalankan menggunakan empat pancutan air,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menghadapi kesukaran menjalankan operasi disebabkan rumah dibina terlalu rapat dan tiada laluan jentera bomba.
“Jentera bomba terpaksa parkir sejauh 600 meter dari lokasi kebakaran dan terpaksa memperoleh sumber air dari pili bomba kedai berhampiran.
“Seorang anggota bomba juga mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dan telah menerima rawatan daripada pihak Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.
Jemishin berkata, setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan semua mangsa berjaya keluar dari rumah masing-masing.

“Kepantasan pasukan operasi berjaya menyelamatkan sebanyak 206 buah rumah di kampung ini dan operasi berjaya dikawal pada jam 9.45 pagi.
“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami semua mangsa terlibat,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ