KOTA KINABALU: Sebuah premis makanan di Bandaran Berjaya, di sini, diarah tutup selepas didapati kotor dan terdapat tanda kehadiran tikus.
Arahan itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKKK) ketika pemeriksaan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 7 Mei lalu.
DBKK dalam kenyataannya, berkata pemeriksaan itu sebagai susulan berhubung kebersihan premis terbabit yang tular di media sosial baru-baru ini.
Katanya, pemeriksaan mendapati aduan berkenaan adalah benar dan terdapat tanda kehadiran tikus berdasarkan bau dan najis haiwan itu di premis berkenaan.
Premis terbabit mendapat markah di bawah 70 peratus hasil penggredan tahap kebersihan yang dibuat PKKKK ketika pemeriksaan berkenaan.
“Pengusaha juga didapati gagal mematuhi sepenuhnya Notis Arahan Penambahbaikan yang diberikan DBKK dalam pemeriksaan sebelum ini iaitu pada 16 April lalu bagi meningkatkan tahap kebersihan premis.
“Pihak PKKKK memberikan arahan Notis Perintah Tutup Premis Makanan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bermula 7 Mei 2024, jam 11 pagi atas sebab premis tidak bersih sehingga boleh menjejaskan kesihatan orang awam.

“Premis makanan itu diarahkan untuk menjalankan pembersihan yang menyeluruh termasuklah melaksanakan kawalan makhluk perosak.
“Premis berkenaan hanya boleh dibuka setelah melepasi penggredan yang akan dilakukan oleh pegawai pemeriksa dalam pemeriksaan susulan selepas kerja-kerja pembersihan dibuat,” kata kenyataan itu.
Selain itu, DBKK juga mengeluarkan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 atas kesalahan semua pengendali makanan tidak memiliki Sijil Kesihatan yang sah. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ