KOTA KINABALU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan enam anggotanya cedera dalam insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota Malaysian Battalion 850-12 (Malbatt 850-12) dari Beirut ke Kem Marakah, jam 1.54 tengah hari tadi waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.
Markas ATM dalam kenyataan malam tadi berkata, letupan berkenaan menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.
Katanya, akibat kejadian itu, seramai enam anggota Malbatt 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota melibatkan Malbatt 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami cedera di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm).
“Manakala seorang lagi melibatkan anggota Malbatt 850-11 juga mengalami cedera ringan.
“Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan Malbatt 850-11,” katanya.
Katanya lagi, ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari masa ke semasa.
“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ