LEBIH 200 AHLI UPKO HADIR SOKONG KARIM

KOTA KINABALU: Lebih 200 ahli UPKO hadir bagi memberi sokongan kepada Datuk Karim Bujang pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, di Dewan Dun Banir, Beaufort, pagi tadi.

Timbalan ketua menteri yang juga presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengetuai kehadiran parti berkenaan dengan turut disertai Pengarah operasi UPKO, Nelson W Angang serta pemimpin-pemimpin UPKO yang lain.

Antaranya naib-naib presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, Datuk Abidin Madingkir, Datuk James Ratib, Datuk Limus Jury dan pemimpin sayap UPKO iaitu Ketua Pemuda, Joseph Felix Saang, Ketua Wanita, Juliana Jali serta pemangku Timbalan Ketua Komulakan, Affi Liman.

Malah, ketua bahagian UPKO kimanis, Lawrence Odong turut menjadi penyokong kepada Karim sebagai calon Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk PRK Kimanis yang dijadualkan pada 18 Januari depan.

Lawrence (kanan) menjadi penyokong kepada pencalonan Karim pada penamaan calon PRK Kimanis, pagi tadi.

Madius berkata, UPKO akan meneruskan kempen bagi membantu Karim di 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kimanis yang UPKO ada.

“Menurut data, UPKO ada lebih 2,000 ahli dan pengundi yang aktif di kerusi ini. Pastinya, kita mahu ahli UPKO membantu dan mengundi Datuk Karim.

“Perpaduan di kalangan parti Kerajaan dan yang mesra kerajaan cukup jelas. Ini satu petanda baik bagi Kerajaan dan moga dipermudahkan segalanya,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.