TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sepatutnya memiliki sekurang-kurangnya sebuah aset udara sendiri bagi memudahkan tugas pemantauan dan kawalan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) selepas lebih tujuh tahun beroperasi.
Ketua Staf Operasi Udara ESSCOM, Brig Jen Ayub Khan Mohd Khan, berkata aset itu penting untuk memastikan pemantauan dan tinjauan udara dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan terutama dalam aspek mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan (KFR) di kawasan ‘hotspot’ dan laluan yang menjadi ‘staging points’ penjenayah rentas sempadan.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri telah melaksanakan penilaian ‘proof concept’ pesawat ‘multi sensor Reconnaissance dan Identification (MRI)’ pada 2017, disusuli Lab Pengurusan Nilai (VM LAB) pada tahun 2018 untuk menilai keperluan ESSCOM, tetapi masih lagi di peringkat ‘status quo’ sehingga kini.
“Selain menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan, ia membolehkan ESSCOM mengatur gerak aset udara dengan berkesan terutama untuk mengesan dan melumpuhkan aktiviti penjenayah serta anasir luar yang cuba mengganggu gugat keselamatan di pantai timur negeri ini.
“Kita yakin melalui rondaan agresif unit udara ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasaan lain, modus operandi penjenayah rentas sempadan dapat dipatahkan dengan berkesan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat koordinasi dan perbincangan bersama dengan semua agensi penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan di kawasan ESSZONE, hari ini.

Mesyuarat koordinasi itu bertujuan bagi
mendapatkan maklumat terkini berkaitan operasi udara dan menyelaras pengoperasian udara yang dilaksanakan oleh setiap perkhidmatan.
Ayub Khan berkata, ESSCOM hanya bergantung kepada aset udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang mempunyai misi dan jadual penerbangan yang telah ditetapkan masing-masing dalam kawasan tanggungjawab mereka.
Katanya, ketiadaan aset udara sendiri menyukarkan bertindak cepat jika ada operasi khas termasuk kes kecemasan yang memerlukan tindakan pantas kerana ESSCOM tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan aset daripada agensi lain.
“Aset udara adalah sebagai pelengkap dan pasukan sokongan kepada aset darat dan laut sedia ada, selaras usaha memperkukuh kawalan dan rondaan melibatkan kerjasama antara laut, darat dan udara, selain kerjasama trilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.
“Jika mempunyai aset sendiri, ia boleh terus diatur gerak melalui perancangan dan maklumat perisikan ESSCOM ke kawasan ‘hotspot’ dan kawasan dikenal pasti dengan cepat dan berkesan,” katanya.-http://beritasabah.com
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan