KOTA KINABALU: Sebuah Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri dicadangkan perlu ditubuhkan bagi membantu kerajaan negeri menuntut hak-hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan lebih baik.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick ketika menyampaikan ucapan bahas pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.
Ujar beliau, dengan adanya jawatankuasa tersebut, akan memperlihatkan kesatuan semua anggota DUN Sabah sebagai pimpinan negeri pada masa kini.
“Seterusnya Ahli-Ahli Dewan boleh diberi update mengenai perkembangan tuntutan hak-hak kita yang dibincangkan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Usaha berkaitan tuntutan semula hak kita tidak perlu dirahsiakan daripada rakyat jelata kerana ini merupakan perjuangan bersama keseluruhan rakyat Sabah,” katanya
Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, antara yang boleh dibuat oleh jawatankuasa tersebut ialah mengembalikan semula perkataan asal Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Saya cadangkan kita bentangkan usul tersebut di Dewan ini dan wartakan sebagai satu keputusan untuk diangkat oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat kita di Parlimen.
Beliau berkata Ahli Dewan bukan setakat berperanan sebagai semak dan imbang, tetapi menyokong segala usaha Kerajaan Negeri untuk menuntut hak-hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Saya percaya, usaha sedemikian bukan hanya perjuangan Ketua Menteri seorang, tetapi perjuangan semua Ahli Dewan ini, dan perjuangan semua rakyat Sabah,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ