SISTEM KESELAMATAN PERBANKAN PERLU SENTIASA DIPERKEMAS, GUNA TEKNOLOGI TERKINI: HANIF OMAR

TAPAH: Sistem keselamatan perbankan di negara ini perlu sentiasa diperkemas dan menggunakan teknologi terkini bagi mengelak ia mudah digodam serta diceroboh, kata bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar.

Beliau berkata walaupun sehingga kini tiada sistem keselamatan perbankan yang selamat untuk jangka panjang namun usaha perlu dilakukan bagi mengekang aktiviti penggodaman dan pencerobohan yang berlaku di seluruh dunia.

“Ini berlaku di seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, China, Rusia dan negara lain. Tiada siapa yang tahu secara muktamad (cara untuk melawan penggodam daripada) mendapatkan pelbagai rahsia.

“Jadi, kita terpaksalah memutakhirkan keselamatan tembok api sistem-sistem dan semua ini memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memastikan sistem yang sedia ada selamat digunakan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai lawatan kebajikan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini hari ini.

Mohammed Hanif mengulas kenyataan bekas penggodam Aman Shah Ahmad yang mendakwa sistem digunakan beberapa bank di negara ini bersifat salin dan tampal daripada sistem terdahulu dengan sesetengah institusi menggunakan perisian serta program bersifat sumber terbuka yang mengakibatkan kelompongan sehingga terdedah kepada ancaman penggodam.

Aman Shah, 54, merupakan seorang bekas eksekutif bank bank yang dihukum penjara lima tahun pada 1990 setelah didapati bersalah melakukan pecah amanah membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit sewaktu bertugas di Kuala Lumpur.

Terdahulu, RESPA menyerahkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada keluarga mendiang Sarjan Baharuddin Ramli dan Sarjan Norihan a/l Tari, kedua-duanya anggota Batalion ke-3, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand bulan lepas.

Presiden RESPA Tan Sri Mohd Ismail Che Rus berkata pihaknya melancarkan tabung kutipan bagi membantu Norihan dan keluarga mendiang Baharuddin sebaik mengetahui tragedi malang yang menimpa mereka. 

“RESPA sangat menyanjung tinggi semangat keperwiraan dan tindakan berani kedua-dua anggota ini serta berterima kasih di atas pengorbanan mereka kepada keselamatan, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara.

“Kedua-dua anggota ini mempamerkan tahap komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab yang amat tinggi. Walaupun berdepan dengan penjenayah serta penyeludup bersenjata, mereka tetap berjuang membalas serangan dengan penuh berani dan cekal demi kedaulatan negara,” katanya.

Dalam insiden pada 3.10 pagi 24 Nov lepas, Norihan cedera parah manakala Baharuddin terbunuh ketika kedua-dua anggota itu terlibat dengan Op Benteng di sempadan negara. – Bernama