Ewon pengerusi baharu PH Sabah

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dipilih sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu.

 

Beliau yang menggantikan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Datuk Seri Christina Liew dipilih pada pemilihan PH Sabah yang berlangsung di sini, petang ini.

 

Ewon mendapat undian tertinggi untuk dipilih ke jawatan itu yang akan disandangnya selama dua tahun.

 

Pada sidang medianya selepas itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyifatkan kemenangannya sebagai satu tanggungjawab besar untuk masa depan Kerajaan Perpaduan.

 

“Saya kini memegang tugas dan cabaran yang berat untuk memimpin PH Sabah bagi penggal seterusnya terkait dengan banyak perkara dalam membawa pembangunan untuk rakyat Sabah.

 

“Ia juga terkait dengan hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memastikan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan Pusat terus stabil memimpin Malaysia,” katanya.

 

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.

 

Ewon juga berterima kasih kepada Christina atas sumbanganya sebagai Pengerusi PH Sabah sebelum ini, terutama dalam membawa gabungan berkenaan menjadi sebahagian daripada kerajaan Sabah.

 

Sementara itu, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau akan memanggil mesyuarat pertama PH Sabah di bawah pimpinannya dalam masa terdekat terutama untuk membincangkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

 

“Kita akan panggil mesyuarat PH Sabah untuk bincang perkara lebih besar pada Disember ini bagi memastikan jentera kita bersedia dan memastiikan rakyat Sabah mendapat hak mereka.

 

“Walaupun di bawah kepemimpinan baharu, apa yang penting PH Sabah dalam gagasan lebih besar di bawah Perdana Menteri tidak kira dipimpin oleh PKR, DAP, UPkO atau Amanah.

 

“Pengerusi PH itu hanya nombor dua. Jadi, semoga kita dapat bekerjasama di bawah pengerusi baharu sama seperti kerjasama dengan pengerusi sebelum ini,” katanya.

 

Terdahulu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata kekalahannya pada pemilihan PH Sabah hari ini tidak memberi kesan kepada fokus menghadapi PRN17. – Info X