KINABATANGAN: Seorang pekerja ladang warga asing maut manakala seorang lagi parah selepas diserang menggunakan senjata tajam oleh rakan sekerja mereka di rumah pekerja di sebuah ladang sawit, di sini, Jumaat lalu.
Mangsa Christian Andi, 30-an, yang parah di leher selepas dikelar menggunakan pisau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan di bahagian leher.
Manakala Bernadus Bagalewok, 24, yang cuba meleraikan pergaduhan turut parah akibat ditikam di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superitendan Ravi Duraisamy berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu, pada jam 2.06 pagi semalam.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, Asisten Superintendan Mohd Zulfikar Abd Salam digerakkan ke lokasi kejadian yang memakan masa perjalanan hampir tiga jam dengan jalan yang tidak berturap dan berlumpur.
Katanya, hasil siasatan awal, mangsa Christian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Bagas masih menerima rawatan di Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan.
“Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan. Semua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan bekerja di ladang berkenaan.
“Polis sedang giat mengesan suspek dikenali sebagai Ricky Tenny, 40-an,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ravi berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu, ketiga-tiga mereka ini menghadiri majlis sambutan hari lahir anak rakan sekerja mereka di ladang berkenaan.
“Mangsa Christian dan suspek dipercayai mabuk selepas minum minuman beralkohol. Selepas selesai majlis berkenaan, Christian dan suspek yang tinggal bersama pulang ke rumah, Bernadus juga turut pulang ke rumahnya yang terletak berhadapan dengan Christian.
“Tidak lama selepas itu, berlaku kekecohan hingga menyebabkan Bernadus keluar dan melihat suspek keluar dari dalam rumah sambil memegang pisau lalu terus ke arah Bagas dan menikam di bahagian dada,” katanya.
Jelas beliau lagi, Bernadus menjerit meminta tolong manakala suspek terus melarikan diri dengan membawa pisau yang digunakan.
“Manakala Christian yang parah melarikan diri ke rumah pekerja bersebelahan untuk meminta bantuan namun redah di depan rumah berkenaan.
“Setakat ini punca kejadian sebenar masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 kanun sama,” katanya. – Info X
More Stories
Walkabout sempena Tahun Baharu Cina di Tuaran
Skandal rasuah Sabah : 18 ADUN dirakam keterangan, kertas siasatan siap hujung bulan ini – SPRM
Pemandu lori ditahan ubah suai tangki minyak