EWON TINJAU JALAN ROSAK AKIBAT TANAH RUNTUH DI KADAMAIAN

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick hari ini turun padang meninjau kerosakan jalan akibat tanah runtuh yang berlaku semasa hujan lebat Sabtu lepas.

Antara jalan yang terjejas teruk ialah Jalan Melangkap, Jalan Purak Ogis, Jalan Bongol, Jalan Tambatuon dan Jalan Pompod serta runtuhan di beberapa jalan kampung lain dalam kawasan Kadamaian.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) serta syarikat-syarikat konsesi yang dilantik telah dan sedang melaksanakan kerja-kerja membaikpulih serta membersihkan runtuhan tanah di jalan.

“Setakat ini, Jalan Melangkap masih belum boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan, bagaimanapun kerja-kerja membersihkan runtuhan tanah sedang dilaksanakan. Manakala, jalan-jalan lain sudah boleh dilalui,” katanya selepas meninjau jalan-jalan utama di kawasan Kadamaian yang terjejas teruk akibat tanah runtuh.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kejadian tanah runtuh itu juga mengakibatkan saliran parit utama tertimbus serta bekalan elektrik dan air terputus di beberapa buah kampung yang terlibat.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah kampung dan penduduk kampung di kawasan Kota Belud yang terjejas akibat tanah runtuh sedang diperincikan oleh Pejabat Daerah.

“Bagi kawasan Kadamaian, Pejabat UPPM turut membantu mengenalpasti bilangan isi rumah yang terjejas terutama yang memerlukan bantuan dan keperluan makanan.

“Kita mendoakan agar cuaca kembali baik supaya kerja-kerja membaikpulih dan menyelenggara jalan-jalan yang rosak dapat diteruskan dan bekalan elektrik serta air dapat dipulihkan,” katanya.

Ewon berkata, di beberapa buah kampung, terdapat rumah yang mengalami kerosakan teruk termasuk, tanah runtuh, hakisan tanah dan rumah dihanyutkan banjir.

Turut serta dalam tinjauan tersebut ialah Jurutera Daerah Kota Belud, Sim Pau Kiong.

Ewon turut diberi taklimat oleh jurutera dan pengurus syarikat konsesi yang sedang melaksanakan kerja-kerja membaikpulih jalan di Jalan Melangkap.

“Saya juga diberi taklimat mengenai tindakan yang akan diambil oleh JKR bagi membaikpulih cerun-cerun bukit di jalan yang terjejas.

“Jalan Melangkap mengalami kerosakan paling teruk. Runtuhan cerun mengakibatkan jalan raya sepanjang 200 meter tertimbus dan memerlukan sedikit masa untuk dibersihkan,” katanya.

Ewon berkata, kerosakan teruk di Jalan Melangkap turut menjejaskan jalan perhubungan tujuh buah kampung kawasan itu iaitu Kg.Melangkap Baru, Kg.Melangkap Tomis, Kg.Melangkap Tiong, Kg. Melangkap Kapa, Kg.Melangkap Noriou, Kg.Tinata dan Kg.Gonsurai.

Selain itu katanya, kerosakan di Jalan Melangkap menjejaskan perhubungan dua buah sekolah kawasan itu, iaitu SK Melangkap dan SK Gensurai serta beberapa buah pusat eko pelancongan komuniti.

“Penduduk kampung berkenaan terpaksa menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Melangkap-Podos-Taginambur,” katanya.

Ewon berkata, Jalan Pompod pula masih ditenggelami air dan hanya kenderaan besar boleh melaluinya. Saya telah meminta JKR Kota Belud agar meninggikan paras jalan sepanjang 200 meter di Jalan Pompod.

“Sebelum ini, saya turut memberikan peruntukan melalui Pejabat Daerah bagi meninggikan laluan lebih 100 meter di jalan ini, namun masih ada keperluan 200 meter lagi untuk tindakan syarikat konsesi JKR yang telah dilantik,” katanya.

Bagi meringankan beban penduduk kampung yang terjejas, UPPM Kadamaian turut menyampaikan bakul makanan kepada keluarga isi rumah yang sangat memerlukan di Kg Pituru, Kg Pompod, Kg Rangalau, Kg Ratau, Kg Pangi serta membekalkan paip kepada Kg Bundu Paka bagi memulihkan bekalan air graviti.

Terdahulu, Ewon mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kota Belud dan diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Hajah Diyanah Abdullah dan ketua-ketua jabatan berkenaan usaha-usaha pengurusan bencana yang sedang dilaksanakan.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada semua agensi dan jabatan yang berhempas pulas menguruskan bencana alam ini. Walaupun bencana ini di luar kawalan kita, tetapi yang penting adalah kerjasama semua pihak termasuk peranan Wakil-Wakil Rakyat dalam pengurusan bencana ini.

“Saya sendiri akan menggunakan peruntukan Adun bagi membantu membaikpulih beberapa kawasan yang berada di luar cakupan JKR dan syarikat-syarikat konsesi mereka,” kata Ewon.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *