MTI MAHU TUBUH MAJLIS PERUNDINGAN BABITKAN INDUSTRI KAYU-KAYAN DI SABAH

PAPAR: Satu kertas cadangan penubuhan majlis perundingan antara penggiat industri kayu kayan, pihak kerajaan serta agensi-agensi yang berkaitan akan dibentangkan di kabinet negeri dalam tempoh terdekat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, penubuhan itu bertujuan untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi dalam sektor industri yang berasaskan kayu.

“Majlis ini nanti akan dianggotai oleh Persatuan Industri Kayu Kayan Sabah (STIA), Persatuan Pembalak Sabah (TAS), Jabatan Hutan, Yayasan Sabah dan lain-lain agensi yang berkaitan.

“Sekiranya mendapat kelulusan di peringkat kabinet, ia dijangka akan membantu menyelesaikan isu-isu seperti bekalan bahan mentah sekali gus memastikan kelestarian industri kayu-kayan di negeri ini,” katanya.

Madius berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang papan NWP dan Lamitech International Sdn Bhd. di sini, kelmarin.

Madius sedang melihat pengoperasian kilang Lamitech Sdn. Bhd.

Beliau berkata, industri kayu-kayan merupakan salah satu industri yang kini beroperasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

“Sektor ini dilihat salah satu penjana ekonomi yang baik untuk negeri Sabah melalui hasil jualan tempatan dan eksport ke luar negara seperti Jepun, Taiwan, China dan Singapura,” katanya.

Madius mengambil gambar kenangan bersama kakitangan kilang NWP

Menyentuh mengenai lawatan itu, Madius memaklumkan ia merupakan langkah kerajaan negeri bagi memantau status
pengoperasian kilang-kilang yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

“Hasil lawatan ini, saya berpuas hati kerana kedua-dua kilang telah pun beroperasi sepenuhnya. Pada masa yang sama, saya juga mendapati kakitangan yang ada di kilang ini 95 peratus terdiri daripada warga tempatan.

“Tahniah saya ucapkan kerana bukan sahaja merancakkan industri kayu-kayan di negeri ini malah turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitar,” katanya.

Madius ketika mendengar taklimat yang disampaikan oleh pegawai kilang Lamitech

Turut hadir pada lawatan itu ialah Timbalan Presiden STIA, Tan Peng Juan, wakil daripada Jabatan Hutan, Yayasan Sabah dan pengurusan tertinggi Kilang NWP dan Lamitech International Sdn Bhd.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *