PLATFORM KEMBALIKAN HAK KAWALAN HASIL GAS JIKA WARISAN MENANG

KOTA KINABALU: Timbalan presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking, berkata jika parti itu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis nanti, ia bakal menjadi platform bagi mengembalikan hak kawalan hasil gas di Sabah, kata Darell Leiking.

Katanya, Kimanis adalah pusat bekalan gas di Borneo dan Malaysia yang telah disalurkan ke tempat lain seperti Bintulu menerusi saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) bagi tujuan tapisan dan pemurnian.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri yang diketuai Umno sebelum ini bertindak menyalurkan sumber gas Sabah ke negeri lain sekali gus menafikan hak Kimanis untuk membangun.

“Kesan buruk bukan sahaja kepada penduduk Kimanis, malah kepada kerajaan hari ini, apabila limpahan ekonomi pembangunan infrastruktur dan penciptaan peluang pekerjaan bukan untuk rakyat Sabah sebaliknya kepada negeri dan bandar lain seperti Bintulu hasil daripada sumber gas Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Berikutan itu juga, Darell yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Sabah sekarang kehilangan hasil pelaburan akibat tindakan kerajaan terdahulu.

Jelas beliau, Sabah terlepas peluang untuk menerima satu pelaburan asing tahun lalu bernilai berbilion ringgit yang mampu menjadikan Sabah pusat pengeluar baja terkemuka di dunia, tetapi tidak dapat direalisasikan akibat tiada kawalan langsung terhadap sumber gas negeri.

“Jika direalisasikan ia mampu memberi manfaat ekonomi kepada sehingga kepada 5,000 rakyat Sabah.

“Sebenarnya, banyak peluang pelaburan yang terpaksa dilepaskan oleh Sabah kerana sebahagian mereka beralih arah untuk melabur di Bintulu kerana kita tidak memiliki kuasa kawalan terhadap sumber gas negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Darell turut menyifatkan dakwaan UMNO mengatakan Kimanis sebuah daerah yang ketinggalan sebagai satu penghinaan.

“Merekalah yang melakukan semua perancangan saluran gas ini ketika berkuasa dahulu,” katanya.

Tambah beliau, isu kawalan gas ini adalah satu daripada empat isu tertunggak daripada keseluruhan 21 yang dibentangkan dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana perkara ini memerlukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada.

“Saya rasa semua ini berkaitan, Kimanis adalah daerah gas dan menjadi pintu aliran gas negeri ini disalurkan ke negeri lain.

“Perbincangan antara ketua menteri Sabah bersama perdana menteri mengenai hal ini masih diteruskan dan sekarang kita berdepan PRK sebelum Mac tahun ini (ketika isu hak Sabah akan dibentangkan di Dewan Rakyat),” katanya.