FELIX : PIBG PUNYA PERANAN PENTING

TELUPID: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mempunyai peranan penting dalam menyediakan persekitaran kemudahan, prasarana serta suasana sekolah yang lebih selesa, kemas, selamat dan kondusif bagi guru-guru dan para pelajar.

Ketua Bahagian Upko Beluran Felix Joseph Saang, bekata PIBG juga perlu bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri Ke-Empat (IR4) dengan menyediakan persekitaran kondusif bagi membolehkan berlakunya transformasi dalam pendidikan anak-anak.

“Pada masa sama, untuk menjayakan revolusi dan transformasi dalam pendidikan, maka inovasi dan kreativiti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas itu amat penting dan kritikal.

“Kerajaan hari ini komited untuk memperkembangkan lagi pengajian dalam bidang sains, teknologi, ejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memastikan para pelajar bersedia menghadapi cabaran alaf baru yang kini dikuasai oleh

“Amat penting untuk ibubapa menyedari dan memahami perkembangan serta perubahan yang sedang berlaku,” katanya yang juga Pengerusi Nippon Paint (Sabah) Sdn Bhd, sebuah anak Sedco.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Telupid yang dihadiri hampir 500 orang, di sini, baru-baru ini.

Felix berkata, adalah amat penting untuk membentuk pelajar yang seimbang dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani.

“Kita mahu pelajar yang bersifat holistik dan mempunyai sahsiah diri yang tinggi serta seimbang. Dalam hal ini, permuafakatan dan kerjasama di antara ibubapa dan guru-guru amat penting sekali,” katanya

Sementara itu, Felix turut mengucapkan tahniah dan berasa kagum melihat inovasi yang sudah mula dilakukan SMK Telupid, antaranya pengundian atas talian bagi pemilihan jawatankuasa PIBG dan laporan kehadiran pelajar menggunakan imbasan barkod terus ke telefon bimbit ibubapa pelajar.

“Kita berhadapan dengan era revolusi di mana banyak yang telah berubah dari segi pentadbiran, pendekatan dan cara mendidik juga turut berubah. Oleh itu, PIBG dan pihak sekolah juga perlu menyesuaikan diri terhadap perubahan yang dinamik ini,” katanya.

Beliau turut menyentuh komitmen tinggi Kerajaan dalam bidang pendidikan yang telah memberi peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2020 membabitkan RM64.1 billion.

Apa yang penting katanya, peruntukan Kementerian Pendidikan yang besar ini dipantau secara terperinci oleh pihak Kerajaan agar ianya benar-benar menepati sasaran.

Sementara itu, Dunnis Kimjin telah dipilih sebagai Yang Dipertua PIBG SMK Telupid manakala Fredolin Giswa dipilih sebagai Timbalan YDP dalam pertandingan lapan penjuru.

Dalam majlis tersebut, Felix juga menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar sekolah tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut Rukimin Sulit, Pengetua SMK Telupid dan Melton Martin, Penyelia Kemajuan Masyarakat N.40 Labuk.