PELAJAR CHINA UMS DIKUARANTIN

KOTA KINABALU: Seramai 190 penuntut daripada China di Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini dikuarantin dan dipantau setiap hari.

Naib Cancelor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga daripada penularan wabak coronavirus (Covid-19).

Katanya, semua penuntut itu membabitkan mereka yang pulang daripada bercuti dan ada rekod menerima lawatan ahli keluarga dari China.

“Kami meminta penuntut-penuntut itu tinggal di rumah dan pemantauan dibuat setiap hari bagi memantau keadaan mereka selain memberi mereka motivasi.

“Setakat ini semuanya baik-baik sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada warga UMS di Dewan Canselor UMS, di sini, semalam.

Beliau berkata, data menunjukkan, UMS mempunyai 352 penuntut asal China, sekali gus kumpulan majoriti daripada 700 penuntut antarabangsa di universiti itu.

“Semua mereka adalah bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau berkata, bahawa sebelum isu Covid-19 tersebar, UMS menerima kehadiran sehingga 1,000 pelancong setiap hari, namun kini berkurangan.

“Semenjak wabak ini merebak, amat menyedihkan apabila jumlah pelancong yang ke UMS menurun secara signifikan, sehingga hanya 100 orang setiap hari.

“UMS berhasrat untuk menambah dua lagi pusat tarikan pelancongan baharu mereka tahun ini iaitu Galeri Azman Hashim dan Pusat Sains UMS,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *