Forum Bicara Ad-din: Keluarga Bahagia Membentuk Warga Patriotik

KOTA KINABALU: Sempena sambutan Hari Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)telah menganjurkan satu forum bicara Ad-din bertajuk Keluarga Bahagia Membentuk Warga Patriotik bertempat di Dewan Bankuasi Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru baru ini.

Forum secara bersemuka ini melibatkan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Dekan Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS, Prof. Dr. Hj. Mohd Dahlan bin Hj. A. Malek dan Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Mohd Nur Hilmie Milus.

Menurut Dr. Mohamed Azam, keluarga bahagia adalah keluarga yang sejahtera, bermaksud keluarga yang mempunyai sifat aman dan makmur.

“Tentang keluarga, ia merupakan satu elemen pertalian dan ikatan sama ada hubungan darah atau perkahwinan. Daripada pertalian itu maka ia menimbulkan rasa saling harap mengharap antara satu sama lain yang ditetapkan agama dan diteguhkan oleh undang-undang.

“Kita tidak boleh lari dari tuntutan agama dan undang-undang dalam aspek pembinaan keluarga,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, elemen usrah membentuk satu keluarga yang membawa maksud bersama-sama menjalinkan satu proses pembentukan yang dibina atas semangat ukhuwah.

“Usrah seharusnya mempunyai tiga prinsip iaitu Taaruf mengenali satu sama lain untuk pembentukan satu keluarga, Tafahum saling faham memahami untuk tidak terjadinya pergaduhan dan akhir sekali mestilah ada Takaful yang membawa maksud saling bantu membantu sekiranya terjadi masalah.

“Untuk mewujudkan keluarga bahagia, sesebuah keluarga seharusnya mempunyai akhlak dan adab. Dengan adanya akhlak dan adab akan membentuk Keluarga Malaysia yang aman dan damai,” katanya.

Prof. Mohd Dahlan juga bersetuju dengan kenyataan daripada Dr. Mohamed Azem mengenai keluarga bahagia ialah keluarga sejahtera.

“Keluarga Malaysia yang bahagia bermula daripada rumah. Pembentukan keluarga patriotik yang bersandarkan slogan rumahku syurgaku akan mewujudkan keluarga yang aman damai, tenteram dan keluarga sejahtera.

“Semasa di rumah, setiap ahli keluarga seharusnya hormat dan taat pada ketua keluarga. Hal ini akan mewujudkan ciri-ciri keluarga yang bahagia.

“Selaku ketua rumah, ketua keluarga haruslah mempunyai ciri-ciri tertentu dan seharusnya melahirkan ciri-ciri keluarga bahagia,” katanya.

Mewakili golongan belia, Nur Hilmie pula berpendapat, setiap generasi muda perlulah mempunyai semangat patriotisme yang mendalam untuk mewujudkan keluarga yang bahagia.

“Golongan belia juga seharusnya mempunyai taqwa kerana taqwa mampu membawa keluarga bahagia,” katanya.

Forum tersebut dikendalikan Ahli Lembaga Pengarah IKIM, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin yang juga mantan Naib Canselor UMS.

Forum Bicara Ad-din boleh diikuti menerusi Facebook TVIKIM.