Tubuh pusat anti-scam tangani penipuan dalam talian, kerajaan diberitahu

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mencadangkan penubuhan satu pusat anti-scam kebangsaan yang berpangkalan di Bank Negara (BNM) bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian.

Beliau berkata, pusat itu perlu melibatkan semua agensi termasuk polis, Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pejabat Peguam Negara, Agensi Keselamatan Siber Malaysia (Nacsa), Ombudsman for Financial Transaction dan sebagainya.

“Had kerugian bagi transaksi dalam talian tanpa kebenaran perlu dipinda atau diubah dari RM25,000 ke RM100,000 bagi Ombudsman for Financial Transaction supaya lebih ramai mangsa scammer akan mendapat akses perkhidmatan OFS,” katanya di Facebook.

Ketua penerangan PKR itu turut mencadangkan kerajaan mewujudkan Dana Pemulihan bagi membantu mangsa penipuan dalam talian dari segi kewangan, sama ada dengan ganti rugi penuh atau separa penuh jumlah yang dicuri scammer.

“Satu ‘high-level taskforce’ juga perlu ditubuhkan bagi mendakwa mereka yang terlibat dalam kegiatan membuat panggilan scammer, menempat atau melindungi penjenayah scammer serta merancang aktiviti scammer.

“Ini termasuk dengan mendapatkan kerjasama Asean dan Interpol bagi menahan dan mengekstradisi penjenayah-penjenayah sekiranya pusat-pusat panggilan atau aktiviti jenayah scammer tersebut berpangkalan di luar negara,” katanya.

Fahmi berkata, jalinan hubungan pelbagai hala antara negara Asean turut penting dalam mempertingkat keselamatan siber negara masing-masing serta mewujudkan protokol kerjasama dari segi undang-undang bagi menghapuskan jenayah scammer di rantau Asean.

Hari ini, institusi kewangan diarah beralih daripada sistem SMS “one time password” atau kata laluan sekali (OTP) kepada sistem lebih selamat untuk pengesahan transaksi dalam talian, sebahagian usaha menangani penipuan dalam talian.

Gesaan itu antara langkah diumumkan BNM untuk meningkatkan keselamatan terhadap penipuan kewangan, ekoran peningkatan jenayah siber di Malaysia dan seluruh dunia.

Langkah lain termasuk tempoh bertenang untuk pendaftaran baru perkhidmatan perbankan atau pertukaran peranti baharu, di mana tiada aktiviti perbankan dalam talian dibenarkan.

Terdahulu, seorang scammer berputih mata selepas diberikan “checkmate” oleh seorang pemuda yang ditipunya apabila terpaksa memulangkan wang kepada beliau dan sembilan mangsa lain.

Shahrul Ashraf Sallehuddin, 38, sedar betapa sukar menjejaki scammer apatah lagi mendapatkan semula wang daripada mereka.

Namun, beliau tidak putus asa menjejak pemilik akaun bank menerusi laman Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga berjaya mengesan scammer itu dan memaksanya memulangkan wang yang diambil daripadanya dan sembilan mangsa lain.