Francis Chong dilantik presiden pertama Majlis Perbandaran Penampang (MPP)

KOTA KINABALU: Pegawai Dearah Penampang, Francis Chong dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPP) yang pertama susulan kenaikan taraf Majlis Daerah Penampang (MDPg) sebagai majlis perbandaran berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Watikah pelantikan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam selaku Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri pada satu majlis di Wisma Innoprise, di sini, hari ini.

Turut menyaksikan majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap I, Stanley Chong; Timbalan Setiausaha Tetap II, Faridah Giau dan Setiausaha Rendah (Pembangunan), Johnny Samson.

Francis, 59, yang berpengalaman selama 37 tahun dalam sektor perkhidmatan awam negeri pernah menjawat Penolong Pegawai Daerah Kudat (Pembangunan) dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong sebelum dilantik sebagai Pegawai Daerah Penampang.

Sementara itu, Dr Joachim berharap Francis bersama jentera kerja MPP dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Penampang sejajar status baharu pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah itu.

Katanya, pelancaran rasmi MPP dijangka disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Oktober depan.

Turut menerima watikah pada majlis itu ialah Timbalan Presiden MPP, Noemi Deyna Johntren; Setiausaha MPP, Robert Malangkig dan Timbalan Setiausaha MPP, Andresia A Lojingau.

Ends

Pix – Dr Joachim menyerahkan watikah pelantikan Presiden MPP kepada Francis Chong.

Pix 2 – Dr Joachim bersama anggota pertama MPP yang baru dilantik.