Lelaki ditahan curi barang kemas bernilai RM30,000

TAWAU: Polis tahan seorang lelaki selepas disyaki mencuri barang kemas bernilai RM30,000 milik anak saudaranya di Taman Kuhara Jaya, di sini, semalam.

Suspek warga tempatan berusia 55 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, kurang 24 jam selepas mencuri barang kemas berkenaan, kira-kira jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11.03 pagi.

Katanya, laporan dibuat oleh seorang wanita berusia 34 tahun selepas menyedari dua bentuk cincin berlian dan dua cincin emas yang disimpan di biliknya hilang dipercayai dicuri.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis memberkas suspek iaitu bapa saudara mangsa sendiri, pada 1.20 tengah hari tadi.

“Polis turut merampas semula barang kemas milik mangsa iaitu dua cincin berlian dan sebentuk cincin emas dianggarkan bernilai RM30,000 di rumah yang sama,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

 Barang kemas milik mangsa yang dicuri oleh lelaki terbabit.
CURI: Barang kemas milik mangsa yang dicuri oleh lelaki terbabit.

Menurutnya, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Jasmin berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau, suspek mempunyai empat jenayah termasuk di Selangor berkaitan dadah.-UTUSAN BORNEO