FSSK Anjur Seminar Pengurusan Sumber Berasaskan Komuniti Gabung Kepakaran Silang Disiplin Baharu

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Seminar Pengurusan Sumber Berasaskan Komuniti Semasa Covid-19 pada 12 April 2021.

Pengerusi seminar Dr. Kee Sabariah Kee Mohd Yusof berkata seminar itu bertujuan mengupas isu dan cabaran dalam menguruskan sumber melalui pembentangan sembilan kertas kerja penyelidikan pensyarah.

“Seiring dengan pembudayaan norma baharu, seminar ini telah diadakan secara atas talian sepenuhnya.

Pengerusi seminar, Dr. Kee Sabariah

“Kesemua kertas kerja yang dibentangkan merupakan hasil penyelidikan di bawah pembiayaan dana penyelidikan COVID-19, SGI0111-2020 tajaan UMS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurut Dr. Kee Sabariah, selain pensyarah FSSK, pembentangan kertas kerja juga disampaikan pensyarah dari fakulti lain.

“Ia bagi merancakkan kajian silang disiplin dan memperkukuhkan lagi dapatan kajian dan intervensi kelak.

“Secara keseluruhannya, seminar ini adalah bagi meningkatkan keupayaan komuniti dalam menghadapi normal baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Dr. Jurry Foo menyuarakan rasa syukur dan berpuas hati dengan kualiti seminar dan penyertaan aktif daripada kira-kira 200 orang peserta.

“Kesemua peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan orang awam memberi maklum balas yang positif.

“Kita juga menerima beberapa cadangan daripada mereka yang akan direkodkan sebagai nilai tambah dalam laporan dan perancangan bersama komuniti kelak,” katanya.

Seminar sehari itu telah dibahagikan mengikut tema.

Bagi tema pemprosesan dan keselamatan makanan, ia telah disampaikan Dr. Mansoor Abdul Hamid dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS dengan kertas kerja bertajuk “Pendekatan Moden Kemahiran Industri Makanan Tradisional untuk Persaingan Mampan.”

Pembentang dari FSMP UMS, Dr. Mansoor

Dalam tema yang sama, Dr Jurry yang juga merupakan pensyarah FSSK dan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar UMS turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Inovasi daripada Kearifan Tempatan”.

Tema pembangunan komuniti turut menjadi tumpuan melalui kertas kerja bertajuk “Pembangunan Komuniti: Situasi Menang-menang ketika Perintah Kawalan Pergerakan” oleh Dr. Jalihah Md. Shah.

Turut membentangkann kertas kerja dalam tema ini ialah Pauline Yong dengan tajuk “Resiprositi (Timbal-Balik) dan Kolaborasi Isi Rumah Komuniti Luar Bandar: Strategi Pengurusan Sumber Berasaskan Komuniti Semasa Covid-19.”

Dalam pada itu, peranan media juga diangkat sebagai salah satu tema perbincangan seminar.

Sebanyak tiga kertas kerja disampaikan Dr. Intan Soliha Ibrahim bertajuk “Radio Sebagai Alat Pembangunan Komuniti Setempat”, “Kemiskinan Digital”, serta “Isu dan Cabaran dan “Penggunaan Media Sosial dalam Memasarkan Produk Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)”.

Turut menyampaikan pembentangan dalam tema peranan media ini ialah Dr. Colonius Atang yang berkongsi maklum balas komuniti menggunakan media sosial dalam pemasaran produk.

Seminar tersebut turut menampilkan pembentang jemputan dari Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) Dr. Umi Kartini Rashid dengan kertas kerja bertajuk “Covid-19 dan Inspirasi Usahawan Agrotani”.

Pembentang jemputan dari UTHM, Dr. Umi Kartini

Kertas kerja di bawah tema yang sama juga dibentangkan oleh Pensyarah Kanan FSSK, Dr. Harifah Mohd. Noor bertajuk “Kesediaan Norma Baharu Perniagaan Pengusaha Makanan PKS di Sabah”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *