FSSK lancar Tabung Food Bank bantu pelajar UMS terlibat PKPD

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Tabung Food Bank bagi membantu pelajar UMS yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru-baru ini.

Dekan Profesor Madya Dr Asmady Idris berkata, sebanyak RM2,760.00 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan kakitangan akademik dan pentadbiran FSSK sejak 27 April 2021 sehingga 2 Mei 2021.

“Kita harapkan agar sumbangan ini serba sedikit dapat meringankan beban pelajar terutama dari segi keperluan harian mereka seperti makanan dan minuman.

“Saya juga berterima kasih kepada semua kakitangan yang telah bersama-sama menjayakan inisiatif ini dengan memberi sumbangan seikhlas hati. Semoga saudara dan saudari sentiasa dimurahkan rezeki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Madya Dr. Raman Noordin, di sini pada Isnin.

Menurut Dr. Asmady, inisiatif itu akan diteruskan bagi membantu golongan yang terkesan atau ditimpa musibah pada masa-masa akan datang.

“Buat masa ini kita juga masih membuka jika masih ada warga FSSK yang ingin menyalurkan sumbangan untuk pelajar kolej kediaman UMS,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan HEP, Mohd. Raffie Hj. Janau dan Timbalan Pendaftar Kanan FSSK, Hj. Firdaus Abdullah.

Untuk rekod, UMS Kampus Kota Kinabalu dikenakan PKPD pada 5 April lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang dikesan selepas saringan terhadap beberapa individu bergejala.   

Walau bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengumumkan PKPD kampus itu ditamatkan pada 2 Mei 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *