GABUNGAN PEMBANGKANG TUBUH PARTI BAHARU?

Oleh Wartawan Sabah
10 Februari 2020

PENAMPANG: Beberapa pemimpin pembangkang Sabah, kelmarin, dikatakan telah mengadakan satu perjumpaan dipercayai bagi membincangkan untuk menubuh satu parti baharu.

Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira dua jam itu dikatakan menggunakan sepanduk ‘Peraduan Rakyat’ dipercayai dipengerusikan oleh bekas menteri persekutuan dan ahli parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan tiada kelibat daripada mana-mana pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam mesyuarat berkenaan.

Difahamkan juga, mesyuarat itu berlangsung di bangunan Kinsabina Sdn Bhd di Penampang dan ianya kali kedua diadakan.

Turut dikatakan hadir dalam mesyuarat itu kelmarin ialah presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Wilfred Bumburing, presiden Parti Kerjasama Anak Negeri, Henrynus Amin, Penasihat Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Francis Goh, dan ketua wanita MCA Sabah, Pamela Yong.

Lain-lain pemimpin yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, Robert Tawik, Ahli majlis tertinggi UPKO, Datuk Ewon Ebin, bekas pemimpin UPKO, Datuk Marcus Mojigoh, Adun Nabawan, Ellron Angin, bekas ahli parlimen Putatan, James Ligunjang dan beberapa pemimpin senior Sabah yang lain.

Laporan itu juga menyatakan James ketika ditemui mengesahkan mesyuarat yang diadakan itu adalah bagi membincangkan resolusi daripada kesemua parti berkenaan untuk membentuk satu parti yang akan dinamakan kemudian.

“Ideanya di sini adalah untuk menggabungkan kesemua parti untuk membentuk satu parti. Semua bersetuju dengan cadangan itu,” katanya.

Bagaimanapun, James enggan mengesahkan mahupun menafikan sama ada cadangan mereka itu akan dimuktamadkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *