RAYMOND DIPECAT

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memecat ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pensiangan, Raymond Ahuar daripada jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Raymond dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Raymond berkata telah dihubungi untuk hadir berjumpa dengan Christina di pejabat beliau yang kemudian memaklumkan pemecatannya.

“Isu pemecatan saya dibawa ke Mesyuarat Kabinet negeri Sabah dan diusulkan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah serta mendapat sokongan majoriti anggota kabinet.

“Datuk Christina Liew juga memaklumkan beliau akan meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan notis pemecatan secepat mungkin,” kata Raymond.

“Saya menerima pemecatan saya dengan hati yang terbuka seperti mana saya menerima tanggungjawab ini dengan hati yang terbuka dulu,” katanya.

Bagaimanapun, Raymond tidak menjelaskan sebab pemecatan itu namun berkata beliau tahu berhubung perkara itu ketika dalam perjalanan ke ibu negeri selepas melawat beberapa kawasan di Pensiangan.

“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah kerana memberikan kepercayaan kepada saya sejak setahun enam bulan yang lalu bagi menggalas tanggungjawab selaku Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

“Saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Malaysia Baru,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *