Gas memasak RM45 setong di Kampung Abai, KPDN ambil inisiatif seragamkan harga

KINABATANGAN: Harga tong gas memasak di Kampung Abai, di sini, mencecah RM45 setong sebelum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil inisiatif menyeragamkan harganya.

Selain gas cecair petroleum (LPG), penduduk kampung berkenaan juga terpaksa membeli minyak masak paket dan gula putih bertapis satu kilogram dengan harga RM3.50 berbanding harga kawalan RM2.50 dan RM2.85.

Memaklumkan situasi yang dihadapi penduduk kampung itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata atas sebab itu KPDN mengambil inisiatif mengatasinya menerusi Program Penyeragaman Harga di bawah peruntukan Belanjawan 2024.

“Dalam pembentangan Belanjawan Persekutuan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan mengumumkan peluasan program ini dengan menambah dua lagi zon baharu di Sabah iaitu Zon Abai, Kinabatangan dan Zon Gana, Kota Marudu.

“Pemilihan Kampung Abai sebagai zon baharu pelaksanaan program ini adalah untuk memastikan 350 orang penduduk di kawasan ini mempunyai akses kepada barang perlu, barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi dengan harga yang sama seperti di bandar Sandakan.

“Antara barang yang terlibat adalah beras, gula putih bertapis, tepung gandum, minyak masak, LPG, petrol RON95 dan diesel.

“Sebelum peluasan program ini, penduduk Kampung Abai memperoleh barang keperluan seperti minyak masak paket dan gula putih bertapis pada harga RM3.50 berbanding harga kawalan RM2.50 dan RM2.85.

“Bagi LPG, penduduk membeli dengan kadar RM45 setong, berbanding harga kawalan RM26.60 setong,” katanya pada pelancaran Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming bagi Zon Abai, di sini, hari ini.

Armizan turut menyerahkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) untuk pengoperasian secara rasmi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming bagi Zon Abai.

Sementara itu, beliau berkata pada tahun ini Kerajaan Persekutuan menyediakan RM225 juta untuk pelaksanaan program berkenaan yang membabitkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.

Jelasnya, pelaksanaannya membabitkan pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat pengangkut yang memberikan perkhidmatan mengangkut barangan perlu dan barang kawalan yang terpilih daripada pusat atau sumber bekalan kepada pusat penjualan.

“Bagi Sabah, penyeragaman harga menerusi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming meliputi 71 zon yang membabitkan sebanyak 219 kawasan pengedaran dan 654 pusat penjualan dengan peruntukan sebanyak RM79.7 juta.

“Ini memberi impak positif kepada lebih 529,948 populasi di negeri ini. Bagi Sandakan, program ini membabitkan 19 zon meliputi 51 kawasan, bukan saja memberi manfaat kepada 109,314 penduduk luar bandar, tetapi juga golongan peniaga kecil turut menikmati limpahan rezeki,” katanya.

Katanya, penyeragaman harga menerusi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah manifestasi keprihatian Kerajaan MADANI untuk mengimbangi keperluan rakyat. – Info X