Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan gelombang Omicron sudah bermula di negara ini.
Dia juga memberi amaran bahawa kes Covid-19 berkaitan varian itu akan naik, namun yakin keadaan dapat dikawal dengan baik.
“Gelombang Omicron bermula di Malaysia. Kes akan meningkat namun insya-Allah (keadaan akan) terkawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi,” katanya melalui ciapan di media sosial semalam.
Setakat 25 Jan lalu secara keseluruhan negara ini sudah mengesan 601 kes Covid-19 yang ada kaitan dengan varian Omicron. Daripada jumlah itu, 90 peratus – atau 545 kes – adalah diimport.
Bagaimanapun, terdapat 56 kes penularan tempatan dengan 34 daripadanya dilaporkan di Sarawak, dan 12 di Selangor.
Kes penularan tempatan juga dilaporkan di Kedah, Labuan – dengan masing-masing empat kes – serta bagi dua lagi di Sabah.
Kata Khairy keyakinannya untuk melihat gelombang Omicron itu dapat dikawal dibuat berdasarkan kepada kesiapsiagaan sistem kesihatan negara.
“Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini,” katanya.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong