Dua rakyat Malaysia terima anugerah dari Kerajaan UK

Tham Yau Kong (kiri) dan Dr Vinod Kumar Joshi (kanan) diumumkan sebagai penerima anugerah kehormat United Kingdom. - Foto Suruhanjaya Tinggi Britain ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Dua rakyat Malaysia akan menerima anugerah kehormat daripada kerajaan United Kingdom (UK), hari ini.

Penerima anugerah tersebut adalah seorang pesara doktor gigi, Dr Vinod Kumar Joshi dan seorang pemandu pengembara, Tham Yau Kong.

Menurut senarai Anugerah Kehormat, Dr Vinod Kumar akan menerima anugerah Officer of the Order of the British Empire (OBE) bagi sumbangan beliau dalam memerangi kanser manakala Yau Kong pula dianugerahkan Member of the Order of the British Empire (MBE) bagi sumbangannya dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, sejarah dan budaya.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay berkata, Dr Vinod Kumar telah mewujudkan rangkaian sokongan yang amat diperlukan bagi menghubungkan pesakit berfikiran sama yang kemudian berkembang sebagai sebuah badan amal manakala Yau Kong telah menyumbang kepada penemuan serta pemuliharaan laluan Perarakan Maut Sandakan-Ranau iaitu satu lakaran sejarah yang penting bagi UK dan Malaysia.

“Selain berkongsi banyak sumber mengenai kanser mulut, Dr Vinod Kumar dan yayasannya juga memainkan peranan dalam menggalakkan ujian saringan kerana diagnosis awal mampu menyelamatkan nyawa.

“Yau Kong tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dan penyelidikannya dengan golongan pelajar serta Angkatan Bersenjata UK selain mendekatkan orang ramai dengan anak cucu tawanan perang yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Vinod Kumar, yang juga Pengasas Yayasan Kanser Mulut di UK, anugerah itu adalah satu pengiktirafan kepada ketabahan semua pesakit, kakitangan dan sukarelawan dalam mengekalkan visi badan amal itu sejak penubuhannya.

Sementara itu, Yau Kong berkata, beliau gembira kerana usahanya diiktiraf dan akan terus mengekalkan sumbangannya kepada sejarah ekologi dan alam sekitar.